Selasa, 19 Julai 2016 | 10:44am

Murid minta Tasha Manshahar dendang lagu popular

Tasha Manshahar. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tasha Manshahar seronok berkongsi pengalaman hari pertama mengajar apabila muridnya meminta beliau menyanyikan lagu popular yang disampaikan bersama Syed Syamim, Ragu-Ragu.

Pemilik nama sebenar Nur Nadia Natasha Mohd Manshahar, 23, itu memulakan tugasan sebagai tenaga pengajar di sebuah sekolah Arab di Melaka untuk subjek Bahasa Inggeris serta Reka Bentuk dan Teknologi.

"Pada mulanya mereka menggelar saya sebagai ustazah namun menukar gelaran itu dengan gelaran 'teacher'. Selepas itu mereka meminta saya menyanyikan lagu Ragu-Ragu pula. Geli hati dibuatnya dengan keletah mereka yang kuat menyakat saya.

"Apa pun pengalaman mengajar di luar ibu kota dan berjauhan dengan keluarga banyak mengajar saya erti berdikari. Seronok rasanya dapat memulakan langkah sebagai pendidik di Klebang, Melaka.

"Memandangkan saya ditempatkan di sebuah sekolah Arab, sistemnya agak berbeza dengan sekolah harian lain. Alhamdulillah teruja menerima sokongan dan bantuan guru lain serta pelajar," katanya.

Sementara itu, Tasha berkata, album solo sulungnya yang memuatkan enam lagu bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Mengakui selesa menggunakan teknologi semasa sebagai medan promosi, Tasha memilih untuk menjalankan hebahan berkenaan produk baharu terbabit di laman maya.

"Insya-Allah, saya merancang untuk berulang alik ke Kuala Lumpur selepas selesai mengajar pada hari Jumaat untuk promosi album serta menghadiri undangan persembahan," katanya.

Berita Harian X