Selasa, 19 Julai 2016 | 9:30pm

Majoriti anggota tentera Turki tiada kaitan rampasan

ISTANBUL: Angkatan Tentera Turki berkata, sebahagian besar anggotanya tiada kaitan dengan cubaan rampasan kuasa Jumaat lalu dan memberi amaran, pengkhianat akan berdepan hukuman berat.

"Majoriti besar anggota kami yang cintakan rakyat, negara dan bendera, tiada kena mengena langsung dengan cubaan rampasan "oleh pengkhianat, " kata tentera dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tentera berkata, perancang penggulingan akan dikenakan hukuman berat atas "perbuatan yang memalukan serta suatu penghinaan" kepada republik Turki.

"Pendokong undang-undang, demokrasi dan nilai tinggi negara kami dan matlamat murninya adalah satu kejayaan," kata kenyataan itu.

Angkatan tentera menyalahkan "Organisasi Pengganas Fethullah" (FETO) atas kegagalan penggulingan, merujuk kepada Fethullah Gulen, seorang sekutu yang bertukar menjadi seteru Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Erdogan menuduh Gulen mengetuai rampasan dari Amerika Syarikat (AS), dakwaan dinafikan sekeras-kerasnya ulama itu.

Tentera berkata, ketua turus kakitangannya, Hulusi Akar enggan menandatangani satu dokumen (sambil diacukan senjata) untuk menyokong cubaan menggulingkan kerajaan.

"Kumpulan samseng dalam FETO cuba memaksa Ketua Turus Kakitangan Tentera menandatangani dokumen dan membaca kenyataan secara langsung di televisyen dengan membuat ugutan ke atasnya.

"Pengkhianat membuat permintaan yang ditolak oleh Ketua Turus Kakitangan Tentera," katanya. - AFP

Berita Harian X