Selasa, 19 Julai 2016 | 9:51pm

Aktiviti penggondolan bukit punca banjir di Teluk Bahang

ADUN Teluk Bahang, Datuk Shahidan Ayob Shah Hussain Shah (tengah) mengadakan sidang media selepas meninjau keadaan Sungai Kelian yang menjadi salah satu punca banjir kilat di Teluk Bahang, Pulau Pinang, semalam. - Foto Ramdzan Masiam

BALIK PULAU: Aktiviti penggondolan lereng bukit berhampiran kawasan empangan air menjadi antara punca menyumbang kepada kejadian banjir di Teluk Bahang, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah, berkata aktiviti penggondolan lereng bukit berhampiran kawasan empangan air turut menyumbang kepada kejadian banjir di kawasan berkenaan.

"Aktiviti ini menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak berfungsi dengan baik, selain gagal menyalurkan lebihan air yang mengalir sepanjang Sungai Kelian di Teluk Awak ke empangan berhampiran.

"Malah, situasi ini menyebabkan Empangan Teluk Bahang mencatatkan paras takungan air hanya 43 peratus, berbanding bacaan di Empangan Mengkuang sebanyak 94.5 peratus," katanya.

Dalam pada itu, Shah Headan berkata, banjir itu turut berpunca daripada masalah pembetungan yang tidak efisyen menyebabkan Sungai Kelian di Teluk Awak gagal menampung lebihan air.

"Pembetungan sedia ada yang terlalu kecil tidak mampu menampung air hujan yang turun secara berterusan dan disusuli dengan fenomena air pasang.

"Tambahan, bacaan hujan direkodkan agak tinggi, iaitu antara 80 milimeter (mm) hingga 250mm," katanya di Balai Rakyat Teluk Bahang di sini, hari ini.

Berita Harian X