Rabu, 20 Julai 2016 | 12:04am
PELAKON, Fizz Fairuz bersama isteri Almy Nadia dan anak beliau Nurafriana Ariana. - Foto Amirudin Sahib.
ALMY Nadia kini mempunya syarikat sendiri. - Foto Amirudin Sahib.
PELAKON, Fizz Fairuz bersama isteri Almy Nadia menganai Karnival Kesenian dan Kebudayaan Rakyat Negeri Pahang di Lobby Bank Rakyat, Brickfield, Kuala Lumpur. - Foto Amirudin Sahib
ALMY Nadia bersama anak beliau Nurafriana Ariana. - Foto Amirudin Sahib

Almy Nadia tidak kisah orang kata badan berisi


PERNAH mengalami tekanan dikritik kerana susuk tubuhnya yang berisi, pelakon Almy Nadia mengambil keputusan untuk tidak lagi mengendahkan apa saja tanggapan masyarakat terhadap dirinya.

Almy atau pemilik nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 30, berkata beliau tidak mahu menyeksa diri bagi memuaskan hati semua pihak yang melemparkan kata-kata negatif terhadapnya.

"Saya kini tidak mahu lagi mempedulikan kata-kata negatif yang dilemparkan terhadap diri saya. Lumrah, badan akan naik ketika hamil dan saya menerima hakikat itu dengan hati terbuka.

"Biarlah apa yang ingin orang kata, asalkan saya bahagia. Lagipun, saya tidak mahu menyekat pemakanan demi memuaskan hati pihak tertentu saja. Bagi saya, kesihatan bayi dalam kandungan lebih penting daripada segala-galanya.

"Saya menjaga pemakanan ketika kehamilan kedua ini kerana belajar daripada pengalaman lalu. Saya mengurangkan pengambilan makanan manis kerana ia bukan saja mendatangkan risiko kepada bayi, sebaliknya pada kandungan saya juga," kata Almy.

ALMY Nadia tidak mahu menyiksa diri bagi memuaskan hati semua pihak. - Foto Amirudin Sahib.

Lebih bijak kawal pemakanan

Pelakon kelahiran Pulau Pinang itu berkata, beliau yang kini hamil enam bulan lebih bijak mengawal pengambilan makanan berbanding kehamilan pertama kerana banyak mengambil langkah berjaga-jaga demi kesihatan kandungan.

Selepas mendirikan rumah tangga pada 30 Mei 2014 dengan aktor Fizz Fairuz dan menimang cahaya mata sulung, Nur Afrina Ariana, pada 16 Februari tahun lalu, Almy sering menjadi tumpuan kerana susuk tubuhnya yang berisi selepas bersalin.

Almy sebelum ini mengambil pendekatan menulis status di Instagram dengan meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pengikutnya yang sering pertikaikan berat badannya yang bertambah.

LUMRAH, badan akan naik ketika hamil dan Almy Nadia menerima hakikat itu dengan hati terbuka. - Foto Amirudin Sahib.

Sibuk urus syarikat sendiri<.b>

Dalam pada itu, Almy menjelaskan beliau kini tidak lagi khuatir mengenai tawaran lakonan kerana lebih selesa bergerak di belakang tabir membangunkan syarikat Rainmaker Creation Sdn Bhd hasil perkongsiannya bersama Fizz.

"Kini saya tidak perlu lagi gusar mengenai tawaran lakonan yang terhad kerana susuk tubuh saya. Pastinya saya mengidamkan badan kurus seperti dulu, namun biarlah selepas saya selamat melahirkan anak kedua ini.

"Alhamdulillah fokus kini diberikan kepada syarikat mengendalikan acara yang ditubuhkan oleh saya dan Fizz. Pendekatan ini diambil untuk pelaburan masa depan kerana tidak mahu bergantung kepada pendapatan sebagai pelakon semata-mata.

"Syarikat kami masih kecil dan banyak yang perlu dipelajari dalam bidang perniagaan. Kebanyakan kerja memang diuruskan oleh kami berdua kerana belum mempunyai tenaga kerja mencukupi buat waktu ini," katanya.

Berita Harian X