Rabu, 20 Julai 2016 | 12:28pm

Pelajar PSAS maut, rakan cedera kemalangan

Keadaan motosikal mangsa yang dipercayai dirempuh Toyota Hilux. - Foto Rosman Shamsudin

BEHRANG: Seorang pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) maut manakala rakannya parah apabila motosikal yang mereka tunggangi bertembung dengan kereta pacuan empat roda di Kilometer 113, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Fadzil Aizat Mohd Fauzi, 19, maut di tempat kejadian manakala rakannya yang juga pembonceng motosikal, Mohd Amirul Imran Mohd Rahi, 19, cedera.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, kedua-dua pelajar berkenaan dalam perjalanan dari arah Slim River manakala Toyota Hilux dari arah Tanjung Malim sebelum bertembung di pekarangan pintu masuk ke PSAS menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak di atas jalan.

Mayat mangsa dan rakannya yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X