Rabu, 20 Julai 2016 | 12:30pm

Kes peniaga suap penguat kuasa 28 Julai ini

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan 28 Julai ini bagi sebutan semula kes membabitkan seorang peniaga dituduh memberi sogokan berjumlah RM500 kepada anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen di Cameron Highlands, 16 Mac tahun lalu.

Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof membuat keputusan itu bagi membolehkan pegawai pendakwa menyerahkan semua dokumen berkaitan kepada peguam.

Terdahulu, Chong Kok Ming, 36, mengaku tidak bersalah selepas dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Jalan Boh, Batu 2 1/2 Ringlet, Cameron Highlands, jam 9.30 malam.

Dia dituduh memberi suapan dalam bentuk wang tunai kepada anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Temerloh, Abdullah Zawawi Mat Junoh sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas pekerja warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Faisal Ibrahim manakala tertuduh diwakili Simon Evansin.

Berita Harian X