;
Jumaat, 14 November 2014 | 4:30pm

MAHB kenal pasti 10 tempat di klia2 perlu diselenggara

SEPANG: Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) mengenal pasti 10 kawasan yang perlu diselenggara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

Pengarah Urusan, Datuk Badlisham Ghazali, berkata semua kawasan terbabit hanya membabitkan kawasan parkir dan 'taxiway', tetapi tidak membabitkan landasan utama.

Kerja penyelenggaraan di kawasan berkenaan yang dikenal pasti mudah ditakungi air, dibuat secara berperingkat dan dijangka diselesaikan sepenuhnya pada 2016.

Setakat ini, satu daripada 10 kawasan berkenaan sudah diperbaiki dan syarikat sedang mengusahakan bahagian yang kedua.

"Ia perlu dilakukan satu persatu kerana tidak mahu mengganggu operasi syarikat penerbangan di lapangan terbang ini.

"Daripada 10 kawasan berkenaan, tiada satu masalah pun yang berlaku di landasan utama, kerana ia benar-benar menepati standard keselamatan antarabangsa," katanya ditemui selepas majlis pecah tanah bangunan ibu pejabat global baharu AirAsia di sini hari ini.

Badlisham dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata MAHB sudah memulakan program penyenggaraan untuk menangani masalah yang dikesan di kawasan 'parking apron' dan taxiway' klia2.

Terminal klia2 menerima Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 7 April lalu, sebelum pembukannya pada 2 Mei 2014. CCC berkenaan mengiktiraf terminal klia2 adalah selamat dan sesuai untuk digunakan.

85 dibaca
Berita Harian X