Rabu, 20 Julai 2016 | 1:47pm

Tak sangka Amar bakal jadi menantu

Ibu bapa pelakon Amyra Rosli, Rosli Awang dan Noor Zaridah Ahmad bergambar bersama bakal tunang Amar Baharin pada majlis pengumumnan perkahwinan di Sunway Montana Club House. - Foto Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelakon Amyra Rosli, Noor Zaridah Ahmad, mengakui lega apabila anaknya dan Amar Baharin, 31, sama-sama mengumumkan berita gembira pertunangan mereka yang bakal berlangsung Jumaat ini.

Beliau yang juga pengurus kepada kedua-dua artis terbabit berkata, dengan pengumuman itu segala teka-teki berhubung status Amar dan Amyra, 25, juga sudah pun terjawab.

Selain pertunangan, dua pelakon terbabit turut berkongsi mengenai tarikh majlis perkahwinan mereka, yang akan diadakan pada 11 November depan.

Kedua-duanya mengumumkan berita gembira itu pada acara ramah-mesra bersama media di Hulu Klang, 18 Julai lalu.

Majlis persandingan di sebelah keluarga Amyra akan diadakan sehari selepas acara pernikahan. Seterusnya pada 19 November, majlis bertandang sebelah Amar pula akan dilangsungkan.

"Alhamdulillah akhirnya semua sudah dileraikan. Lebih penting, ia diumumkan secara serentak kepada semua rakan media. Selama ini, cerita terbabit bagai tersimpan rapi dan tidak dapat diluahkan," katanya yang lebih mesra disapa dengan panggilan Kak Noor kepada BH Online.

Menurutnya lagi, tindakan Amyra dan Amar untuk tidak terlalu menjaja cerita hubungan mereka juga adalah kerana kematangan diri sendiri, selain hasil perbincangan bersama. Masing-masing enggan bercerita mengenai sesuatu yang belum ada hujung pangkal.

"Selepas setahun menguruskan kerjaya seni Amar, saya sendiri tidak menduga beliau bakal jadi menantu. Dalam hal ini, baik Amar mahupun Amyra bersikap dewasa. Apatah lagi anak saya sendiri pernah berdepan dengan kegagalan dalam hubungan terdahulu.

"Amar sebenarnya banyak membantu supaya hubungan mereka tidak terlalu kelihatan ketara. Dari sudut itu, saya nampak beliau seorang yang 'sweet'.

"Sepanjang menguruskan kerjaya dan mengenalinya, beliau anak muda yang sangat menyenangkan hati. Sikap dan kelakuan dirinya, termasuk cara beliau bekerja, cukup bagus.

"Beliaulah tempat saya meminta nasihat dan menjadi tempat rujukan kerana kalau mahu diukur dari segi pengalaman, Amar sudah tujuh tahun berada dalam dunia seni. Saya sendiri hanya mengambil alih pengurusannya sejak setahun lalu," katanya sambil mengakui pemuda itu seorang yang amat mengambil berat soal diri dan anak perempuannya.

Ditanya mengenai perasaannya untuk 'melepaskan' anak sulung daripada empat beradik itu, Noor mengaku agak berat untuk beliau berbuat begitu, apatah lagi pelakon berkenaan ialah anaknya yang pertama bakal mendirikan rumah tangga.

"Agak berat juga untuk melepaskan anak pertama dan seterusnya mendapat menantu sulung. Seperti ibu lain, saya juga harap Amyra akan menjadi isteri yang baik dan bakal menantu kami nanti dapat menjaganya dengan sepenuh hati. Saya harap Amyra juga akan menjaga Amar sebaik mungkin.

"Saya turut menerima Amar sebagai bakal menantu dengan hati yang terbuka. Saya percaya beliau calon terbaik untuk Amyra," katanya yang menyambut rombongan merisik keluarga Amar pada Aidiladha tahun lalu.

Berita Harian X