Rabu, 20 Julai 2016 | 3:53pm

HSR rancakkan pembangunan Negeri Sembilan


Datuk Seri Mohamad Hasan.

SEREMBAN: Landskap pembangunan Negeri Sembilan akan banyak berubah apabila projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Malaysia, dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini berikutan bandar ini akan menjadi antara stesen HSR, sekali gus memberi kesan besar terhadap pembangunan negeri ini.

Katanya, projek HSR dan kemudahan pengangkutan sedia ada seperti Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan komuter akan menjadikan negeri ini mempunyai antara rangkaian pengangkutan awam yang canggih dan lengkap.

"Semua kemudahan ini juga bakal menjadikan Negeri Sembilan sebagai hab bagi Kuala Lumpur yang lebih besar," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad berkata, kerajaan negeri amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang bersetuju menjadikan bandar ini sebagai antara stesen HSR.

"Ini akan memberi banyak kemudahan kepada orang ramai, terutama sektor perkhidmatan dan pelancongan. HSR membolehkan pelancong dari Singapura mengambil masa hanya kira-kira 60 minit untuk tiba di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, industri pelancongan di negeri ini akan bertambah rancak, terutama dengan perancangan untuk memulakan semula perkhidmatan kereta api di antara Seremban dan Port Dickson.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan mengemukakan permohonan supaya perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Kajang, dapat disambungkan hingga ke bandar ini menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.

Berita Harian X