Rabu, 20 Julai 2016 | 4:29pm

Abu Kassim terus usaha banteras rasuah selepas bersara


Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

ALOR SETAR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed, mengakui akan meneruskan perjuangan dalam agenda membanteras rasuah walaupun selepas bersara.

Beliau yang akan meninggalkan SPRM 1 Ogos ini, mengesahkan akan berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam bidang itu sebagai pakar jemputan di Akademi Anti-Korupsi Antarabangsa di Vienna, Austria selain sebagai perunding di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Perjuangan akan diteruskan sebagai penceramah dan perunding di dua tempat itu. Jika ada kelapangan baharu boleh menyertai ceramah di luar apabila menerima jemputan," katanya ketika ditemui sempena Majlis Sambutan Aidilfitri SPRM Kedah, di sini, hari ini.

Mengulas pembabitannya di Vienna, katanya, beliau akan memberi khidmat untuk membantu dan membina kapasiti serta merangka program berkaitan anti-korupsi.

Abu Kassim kini menghabiskan tempoh perkhidmatannya sebelum bersara dengan melakukan rangka lawatan ke pejabat SPRM di seluruh negara.

Beliau berkata, lawatannya itu adalah untuk bertemu pegawai SPRM bagi menzahirkan ucapan penghargaan kerana membantunya dalam melancarkan pelbagai urusan sebelum ini.

Berita Harian X