Jumaat, 14 November 2014 | 6:18pm

Aloyah Mamat dilantik KP Keselamatan Kerajaan


Datuk Mustafa Ibrahim (kiri) berjabat tangan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa semasa menerima surat pelantikan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen berkuatkuasa serta merta menggantikan Datuk Aloyah Mamat yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Aloyah Mamat sebagai Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan berkuat kuasa hari ini.

Ali berkata, pelantikan Aloyah adalah bagi menggantikan Datuk Johari Jamaluddin yang bersara wajib.

"Saya percaya kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Aloyah dapat meneruskan kesinambungan kepimpinan di pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan dalam memastikan pengurusan keselamatan kerajaan meliputi keselamatan fizikal, dokumen dan personel dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Ali turut mengucapkan terima kasih kepada Johari di atas sumbangan dan khidmat beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama lebih 36 tahun.

Beliau juga mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah Jabatan SukarelawanMalaysia (RELA) Datuk Mustafa Ibrahim sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresenbagi menggantikan Aloyah berkuat kuasa hari ini.

"Saya percaya kelayakan, pengalaman dan pengetahuan serta kredibiliti yangdimiliki Mustafa membolehkan beliau memimpin dan meneruskan kecemerlanganJabatan Imigresen dan terus meningkatkan keberkesanan sistem penyampaianperkhidmatan dan keselamatan negara dengan penuh integriti," katanya.

Aloyah, 58, adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dalam bidang pengajian pembangunan dari Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 25 tahun bermula 1 Ogos 1989 dan berpengalaman dalam bidang pentadbiran, pengurusan keselamatan dan pengurusan sumber manusia.

Aloyah dilantik menjawat jawatan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen pada 5 Februari 2014.

Mustafa, 57, lulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Keselamatan Antarabangsa dari University of Pittsburgh, Amerika Syarikat, menyertai perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983.

Berpengalaman dalam bidang pentadbiran dan pengurusan keselamatan, Mustafadilantik sebagai Ketua Pengarah RELA pada 20 Jun 2011 dan pernah menjawatjawatan sebagai Pengarah Keselamatan Sabah serta Setiausaha Keselamatan Negeri Sembilan dan Melaka. Sementara itu, Pengarah Belanjawan, Pejabat Belanjawan Negara, Datuk Dr Ismail Bakar dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan berkuatkuasa 18 November ini bagi menggantikan Datuk Seri Long See Wool yang akan bersara wajib.

Ismail yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam lebih 28 tahun bermula 13Jan 1986, adalah lulusan Ijazah Kedoktoran dalam bidang Ekonomi dari University of Hull, United Kingdom dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan kewangan, ekonomi serta perolehan.

Beliau dilantik sebagai Pengarah Belanjawan pada 20 Januari 2014 dan pernah memegang jawatan Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan dan menjadi Penasihat Kanan Ibu Pejabat Bank Dunia di Washington.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Kewangan Kementerian Pengangkutan, Chua Kok Ching pula dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Pengangkutan berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Yap KinSian yang bersara wajib.

Chua, 56, yang berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Awam dari University of Oklahoma, Amerika Syarikat, berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 3 Januari 1983 dan berpengalaman luas dalam bidang pengurusan serta kewangan.

Beliau pernah menjadi Setiausaha Bahagian, Urusetia Jawatankuasa Kerja Pelaksanaan Penambahbaikan PDRM Kementerian Dalam Negeri serta menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Bahagian, Urusetia Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri.

Ali berkata, beliau yakin kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Ismail dan Chua membolehkan mereka memimpin dan meneruskan agenda Kementerian Pengangkutan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan negara. - BERNAMA

Berita Harian X