Khamis, 21 Julai 2016 | 3:48pm

UPM sedia bantu kawal harga ayam

DEKAN Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia, Prof Abdul Shukor Juraimi (tengah), Pakar Pemakanan Haiwan dan Analisis Sisitem, Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Azhar Kasim (kiri) dan Pengarah Insitut Biosains, Pensyarah Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Dr Abdul Rahman Omar (kanan) ketika sidang media mengenai isu kenaikan harga ayam di Fakulti Pertanian UPM, Serdang. - Foto Rosela Ismail

SERDANG: Pakar dari Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan kementerian berkaitan untuk mewujudkan mekanisme dalam pengawalan dan penetapan harga ayam.

Ini termasuk pengawalan dan penetapan dari segi sistem pengurusan ladang, harga ayam, tenaga kerja serta input lain yang berkaitan dalam industri terbabit.

Pakar Pemakanan Haiwan dan Analisis Sistem, Fakulti Pertanian UPM, Prof Madya Dr Azhar Kasim, berkata mekanisme itu dapat membantu dan memberi pelbagai kelebihan kepada pengeluar, penternak serta pengguna.

Katanya, bagi mewujudkan sistem itu, ia bukan sahaja dilaksanakan untuk musim perayaan tetapi dalam jangka panjang.

"Kita selalu lihat ada perbezaan harga ayam pada hari biasa dengan musim perayaan. Malah harga selalunya tidak stabil kerana menunjukkan penurunan atau peningkatan pada satu-satu masa," katanya pada sidang media Isu Dan Permasalahan Kenaikan Harga Ayam, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sebagai contoh Suruhanjaya Industri Peladangan dan Produk Pemasaran Ontario, Kanada mengamalkan sistem berkenaan bagi mengawal harga dari ladang.

"Mereka menggunakan mekanisme ini bagi menyelaraskan sistem pengawalan selain memberi faedah kepada semua pihak," katanya.

Sementara itu, Pakar Imunologi dan Penyakit Ayam, Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof Dr Abdul Rahman Omar, berkata ada pelbagai faktor menyebabkan kenaikan harga ayam di negara ini.

"Ini termasuk permintaan yang tinggi pada musim perayaan dan penyakit yang menyerang ayam yang menyebabkan tumbesaran lambat atau berat terbantut," katanya.

Beliau berkata, penternak turut mengalami kekurangan penghasilan bahan mentah untuk makanan ayam seperti jagung dan kacang soya yang boleh memberi kesan terhadap peningkatan harga makanan ayam.

Berita Harian X