Khamis, 21 Julai 2016 | 5:21pm
PENGARAH Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah bersalaman dengan guru dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di Kampung Teratak Pulai, Bachok.

Guru wajar henti salahguna alat komunikasi

BACHOK: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan memberi amaran dan peringatan kepada lebih 35,000 guru di negeri ini supaya tidak menyalahguna alat komunikasi dengan menyebarkan penghinaan terhadap pemimpin di laman sosial.

Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, sebagai pendidik yang menjadi golongan dihormati masyarakat adalah tidak wajar mereka menyebarkan sesuatu yang memalukan seperti merendahkan maruah pemimpin dan perbuatan tidak bermoral.

Katanya, JPN dan Kementerian Pendidikan akan memantau perkara ini dan sudah mengeluarkan pekeliling berkaitan penggunaan media sosial seperti Facebook supaya tidak menyebarkan maklumat dan tulisan yang melanggar peraturan.

"Kita juga memberi arahan kepada semua pengetua dan guru besar supaya memastikan guru terbabit dalam aktiviti yang menyalahi peraturan menerusi media sosial," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman beliau di Kampung Teratak Pulai, di sini, tadi.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Bachok, Mohd Faizul Yusof dan semua wakil PPD dan guru-guru.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Seksyen Kota Bharu, semalam yang menjatuhkan hukuman dua tahun penjara ke atas seorang guru, Nik Aidid Nik Mat kerana menyiarkan gambar berunsur lucah dan palsu membabitkan pemimpin negara dan memiliki video lucah pada tahun 2014 yang dituduh di mahkamah kelmarin.

Ab Aziz berkata, perbuatan menghina pemimpin bukan saja melanggar etika kerja malah Islam sendiri melarang melakukan perbuatan itu.

"Saya nasihat guru tidak menggunakan alat komunikasi untuk sebar perkara yang boleh menjatuhkan imej guru dan menjejaskan keamanan negara dan tindakan merendahkan pemimpin negara tidak wajar dilakukan penjawat awam terutamanya golongan pendidik yang dihormati masyarakat," katanya.

Sementara itu, lebih 5,000 tetamu termasuk guru dan jemputan menikmati pelbagai hidangan seperti kambing golek, kambing telekup, colek buah, roti jala dan sate pada rumah terbuka Ab Aziz sempena sambutan Aidilfitri.

Apa yang menarik semua hidangan itu disumbangkan wakil daripada 10 sektor di JPN Kelantan, pihak PPD dan warga sekolah pada majlis yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

Berita Harian X