Jumaat, 22 Julai 2016 | 12:02am
MUHAMMAD Hasrul Ramli. - Foto Syamsi Suhaimi
MUHAMMAD Hasrul Ramli melayan pelanggan yang membeli barangan yang dijualnya di sekitar pekan Rantau Panjang. - Foto Syamsi Suhaimi
MUHAMMAD Hasrul Ramli melayan pelanggan yang membeli barangan yang dijualnya di sekitar pekan Rantau Panjang. - Foto Syamsi Suhaimi
MUHAMMAD Hasrul Ramli menjaja makanan seperti kuih-muih, nasi bungkus, kerepek dan gula-gula di sekitar pekan Rantau Panjang. - Foto Syamsi Suhaimi

Lumpuh tanpa sebahagian tengkorak kepala, tidak halang Hasrul berniaga


RANTAU PANJANG: Lumpuh separuh badan sambil meneruskan kehidupan tanpa tempurung kepala sebelah kanan, tidak sesekali melemahkan seorang pemuda untuk keluar mencari rezeki demi kelangsungan hidup.

Kecacatan yang dialami akibat nahas jalan raya kira-kira sembilan tahun lalu, tidak mematah semangat Muhammad Hasrul Ramli, 23, untuk berusaha meringankan beban keluarga.

Setiap hari, Muhammad Hasrul yang tinggal dekat Kampung Telaga Emas di sini, keluar menjaja makanan seperti kuih-muih, nasi bungkus, kerepek dan gula-gula di sekitar pekan Rantau Panjang.

"Setiap hari, seawal jam 9 pagi saya akan keluar berniaga dengan menaiki bas atau dihantar ayah dengan motosikal. Berikutan badan lumpuh sebelah kiri, saya terpaksa berjalan secara mengheret kaki sambil menarik troli kecil.

"Saya tidak mempunyai gerai, jadi terpaksa berniaga secara menjaja demi membantu keluarga. Walaupun mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350 sebulan, namun tidak mencukupi memandangkan ayah hanya bekerja sebagai penoreh getah bagi menyara keluarga kami sembilan beradik.


MUHAMMAD Hasrul Ramli menjaja makanan seperti kuih-muih, nasi bungkus, kerepek dan gula-gula di sekitar pekan Rantau Panjang. -Foto Syamsi Suhaimi

"Ada kalanya terasa sakit terutama di kepala, namun saya kuatkan diri dan hanya membayangkan sedang melakukan senaman setiap hari," katanya idea berniaga itu timbul selepas mendapat pendidikan khas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Syakirin, Rantau Panjang.

Mengimbas nasib malang menimpanya, anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, dia terbabit nahas di Rantau Panjang ketika perjalanan pulang mengambil adiknya dari sekolah, kira-kira sembilan tahun lalu.

"Akibat nahas itu, saya lumpuh sebelah kiri badan selain terpaksa menjalani pembedahan membuang tempurung kepala sebelah kanan dan kini terpaksa menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).

"Walaupun sedih kerana kejadian itu berlaku secara mengejut, namun saya terpaksa reda dan menganggap apa yang berlaku adalah takdir Allah.

"Ramai pelik melihat kekurangan diri saya, namun ia tidak pernah mematahkan semangat untuk terus bekerja demi mencari rezeki halal," katanya yang bersyukur kerana mampu berdikari dan keluar mencari rezeki meringankan beban keluarga.


MUHAMMAD Hasrul Ramli menunjukkan bahagian kepalanya tanpa tempurung. - Foto Syamsi Suhaimi

Sementara itu, bapanya, Ramli Abdul Manaf, 60, melahirkan rasa bangga dengan semangat yang ada pada anaknya walaupun fizikalnya berbeza insan lain.

"Hasrul anak yang baik, dia kerja kuat walaupun dia tidak seperti orang lain. Saya tidak pernah memaksanya bekerja, sebaliknya keinginannya sendiri mahu meniaga.

"Sebagai bapa, saya menyokong memandangkan Hasrul gembira dan kini kelihatan lebih sihat. Saya bersyukur dia sudah mampu berjalan seperti hari ini walaupun keadaannya tidak sempurna seperti orang lain," katanya.

Berita Harian X