Jumaat, 22 Julai 2016 | 6:23pm

3 beranak ditahan kes temu mayat bayi di masjid


MAYAT bayi lelaki yang ditinggalkan di Masjid Jamek Baru Gopeng, Gopeng, pada akhir bulan lalu. - Foto ihsan pembaca

GOPENG: Polis menahan tiga beranak berhubung penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat bersama sekeping nota di Masjid Jamek Baru Gopeng, di sini, pada akhir bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata ketiga-tiga suspek ditahan di rumah mereka di Taman Raia, di sini, Isnin lalu.

Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek berusia 20 tahun adalah ibu kepada bayi berkenaan. Dua lagi adalah adik perempuan dan bapa wanita itu.

Katanya, siasatan mendapati proses kelahiran wanita itu dikendalikan oleh adiknya.

"Bayi itu dipercayai masih hidup ketika dilahirkan, namun wajahnya bertukar kebiruan setengah jam kemudian sebelum meninggal dunia di rumah.

"Seorang lagi suspek yang juga bapa kepada ibu bayi berkenaan panik selepas melihat kejadian itu dan membawa bayi itu ke masjid sebelum meninggalkannya bersama sekeping nota," katanya, di sini, hari ini.

Ketiga-tiga suspek direman bermula Isnin lalu hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Mayat bayi berkenaan yang dibaluti kain batik dan dimasukkan dalam beg plastik, ditemui di masjid pada jam 10.15 malam, pada 29 Jun lalu.

Sekeping nota yang ditemui bersama mayat bayi itu tertulis 'Assalamualaikum, minta jasa masjid mengebumikan dan semayang (sembahyangkan) anak saya'.

Berita Harian X