Sabtu, 23 Julai 2016 | 11:25pm
ORANG ramai yang hadir menyaksikan majlis perasmian SUKMA Sarawak 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya. - Foto Osman Adnan

SUKMA XVIII dirasmi penuh gemilang


PERSEMBAHAN bunga api berwarna-warni pada Majlis Perasmian Sukan Malaysia Ke-18 (SUKMA XVIII) Sarawak 2016 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini. - Foto BERNAMA

PETRA JAYA:  Majlis perasmian Sukan Malaysia Ke-18 (SUKMA XVIII) Sarawak 2016 berlangsung penuh gemilang dan berwarna warni sebentar tadi.

Upacara yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, itu diserikan persembahan seramai 3,500 penari kalangan pelajar sekolah dan kolej sekitar Kuching.

Lebih 30,000 penduduk Sarawak memenuhi Stadium Sarawak pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, serta Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


YANG di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud (dua, kanan) dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib (kanan) pada majlis perasmian SUKMA ke-18 di Stadium Sarawak malam ini. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem (dua, kiri) dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin (kiri). - Foto Osman Adnan

Kemeriahan majlis perasmian temasya dwi-tahunan itu dimulakan dengan persembahan beberapa artis tempatan antaranya Bob AF, Dewi Liana Seriestha, Ricky Andrewson, Nisa Addina and Band D'Cipta Mtac.

Pertunjukkan bunga api ketika menyambut ketibaan Abdul Taib dan permulaan perbarisan lintas hormat kontijen yang bertanding menggamatkan lagi suasana perasmian temasya yang bertemakan 'Perpaduan dalam Kepelbagaian'.

Seramai 5,670 atlet menyertai SUKMA XVIII membabitkan 25 jenis sukan yang dipertandingkan.

Selaku tuan rumah temasya edisi ke-18, Sarawak menghantar kontinjen terbesar dengan 544 atlet diikuti Selangor (507), Perak (498), Terengganu (485), Wilayah Persekutuan (478), Sabah (431), Pahang (412), Johor (408), Pulau Pinang (380), Kedah (358), Negeri Sembilan (330), Melaka (307), Perlis (253), Kelantan (220) dan Brunei selaku pasukan jemputan menghantar 59 atlet. 


KONTINJEN Sarawak melakukan lintas hormat. - Foto Osman Adnan

Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA pada temasya 1990, 1992 dan 1994 manakala pada pada 1988, 1996, 1998, 2000 dan 2004, kontinjen yang gah melaungkan slogan 'Agi Idup Agi Ngelaban' itu muncul naib juara.   

Kuching, Sibu, Miri dan Samarahan dipilih sebagai tiga daerah utama penganjuran SUKMA buat kali kedua di Bumi Kenyalang ini membabitkan 25 venue pertandingan dalam perebutan 379 pingat emas, 379 perak, dan 459 gangsa.

Berita Harian X