Sabtu, 23 Julai 2016 | 11:56pm
SUMBER sukmasarawak2016.my

WP kekal dahului carta SUKMA, Selangor melonjak

KUCHING: Acara akuatik, renang dan terjun, yang membuka gelanggangnya hari ini di Pusat Akuatik Sarawak, Petra Jaya, membantu kontinjen Selangor melonjak kembali ke tangga kedua carta kedudukan pingat pada hari kelima temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 hari ini.

Setakat ini, kontinjen itu mengumpul 11 pingat emas, 19 perak dan 19 gangsa untuk mengekori pendahulu, Wilayah Persekutuan dengan 12 emas, 10 perak dan tujuh gangsa.

Kontinjen Sarawak pula meraih 11 emas, tujuh perak dan 13 gangsa.

Kontinjen Selangor meraih empat pingat emas dalam acara renang serta satu pingat lagi melalui atlet elit terjun negara, Chew Yi Wei dalam acara 3m Papan Anjal Lelaki.

Perenangnya, Caroline Chan Zi Xin, yang meraih pingat emas turut membaharui rekod SUKMA miliknya iaitu 30.34 saat yang dicatat pada temasya SUKMA Pahang pada 2012 dengan catatan masa baharu 30.18s.

Acara renang menyaksikan empat rekod SUKMA diperbaharui khususnya dalam acara 100m kuak dada (lelaki dan wanita) dan 50m kuak lentang (lelaki dan wanita).

Saingan hari keenam menyaksikan tawaran pingat semakin bertambah dengan acara tenpin boling dan memanah membuka gelanggang masing-masing.

Sejumlah 37 pingat emas menjadi rebutan dengan acara akuatik (renang dan terjun) menawarkan 11 pingat emas, memanah (8), wushu (8), berbasikal (2), tenpin boling (2), badminton (2) dan angkat berat (2). - BERNAMA

Berita Harian X