Sabtu, 15 November 2014 | 9:36am

Peserta casting, bottom BOTR 2014 mulakan cabaran di Tasik Kenyir

(DARI KIRI) Penolong Setiausaha Kerajaan (SUK) Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil; Pengurus Bahagian Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Ahmad Fakaruddin Ahmad; Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Hamid Embong; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali dan Pengurus Projek Khas BH, Mohd Hazrul Rabu membunyikan hon udara sebagai tanda isyarat pelepasan peserta 'casting' Boat On The Road (BOTR) 2014 di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, hari ini. - Foto BH Online

HULU TERENGGANU: Seramai 211 peserta kategori casting dan bottom program Ekspedisi Memancing Santai Boat On The Road (BOTR) 2014 memulakan cabaran di Tasik Kenyir, di sini, sebentar tadi.

Majlis pelepasan kategori itu disempurnakan bersama oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Hamid Embong dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali.

Hadir sama Penolong Setiausaha Kerajaan (SUK) Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu, Che Wan Mohd Zulkifli Che Wan Jalil; Pengurus Bahagian Pelancongan dan Pembangunan Tasik Kenyir, Ahmad Fakaruddin Ahmad dan Pengurus Projek Khas BH, Mohd Hazrul Rabu.

Mohd Hazrul berkata, kategori casting memerlukan peserta menggunakan bot sendiri dengan maksimum tiga pemancing.

"Pertandingan kali ini diadakan pada musim tengkujuh dan ini memberi cabaran sebenar kepada peserta.

"Bagaimanapun penganjur sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan membuat kawalan sepanjang pertandingan berlangsung," katanya.

PESERTA kategori 'casting' Boat On The Road (BOTR) 2014 memulakan cabaran pada majlis pelepasan di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, Terengganu, hari ini. - Foto BH Online

Untuk kategori casting, juara kumpulan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 dan bot gentian kaca; naib juara RM10,000; ketiga RM5,000 dan tempat keempat RM2,000.

Satu lagi kategori BOTR 2014 ialah boat house (bottom) iaitu memancing atas rumah bot yang disediakan.

Juara boat house akan membolot hadiah wang tunai RM8,000; naib juara RM5,000; ketiga RM3,000 dan keempat RM1,000.

Selain wang tunai, pelbagai hadiah iringan menarik menanti semua pemenang untuk kedua-dua kategori.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Terengganu turut menawarkan hadiah wang tunai RM20,000 untuk pemancing yang berjaya menaikkan ikan Arapaima Gigas atau Naga Merah.

Berita Harian X