Ahad, 24 Julai 2016 | 4:30pm
PDRM logo
PDRM logo

Mayat murid lemas di Ampang ditemui di Klang

KUALA LUMPUR: Mayat seorang murid yang lemas di Ampang pada Khamis lalu, ditemui di Klang pagi semalam, kira-kira 40 kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat Muhammad Akmal Hamdan, 10, ditemui terapung di dalam Sungai Klang di kawasan perangkap sampah Sungai Pinang kira-kira jam 8.15 pagi oleh pihak polis marin yang turut menyertai gerakan mencari dan menyelamat.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata mayat mangsa ditemukan dalam pakaian seragam sekolah agama dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Murid Sekolah Rendah Agama Tasek Tambahan, Ampang ini dilapor dihanyut arus deras ketika bermain di sekitar parit dalam hujan lebat bersama dua lagi rakan di luar kawasan sekolah berkenaan.

"Waris mangsa telah membuat pengecaman mayat pada pukul 9 pagi tadi setelah dimaklumkan berkenaan penemuan mayat kanak-kanak itu," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X