Ahad, 24 Julai 2016 | 7:07pm

SMK Taman Melawati mara ke separuh akhir debat

PELAJAR berbincang sebelum Pertandingan Debat Antara Sekolah Malaysia Kali ke-14, 2016 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, hari ini. - Foto Abdullah Yusof
PELAJAR berbincang sebelum Pertandingan Debat Antara Sekolah Malaysia Kali ke-14, 2016 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, hari ini. - Foto Abdullah Yusof

GOMBAK: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Melawati dari Kuala Lumpur membuat kejutan apabila mara ke pusingan separuh akhir buat pertama kali dalam Pertandingan Debat Antara Sekolah Malaysia Kali ke-14, 2016.

Pasukan bukan pilihan itu mara ke pusingan berkenaan bagi kategori debat Bahasa Melayu selepas menewaskan Sekolah Menengah Sains (SMS) Teluk Intan pada pusingan suku akhir yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Turut melangkah ke pusingan separuh akhir adalah Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dari Perak serta Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Sabak Bernam, Selangor.

Pusingan separuh akhir yang sedang berlangsung itu mempertemukan SMK Taman Melawati dengan STAR, manakala MCKK dengan SBPI Sabak Bernam dengan keputusan dijangka diketahui sekitar jam 7 malam ini.

Bagi debat kategori Bahasa Inggeris, sekolah yang mara ke separuh akhir adalah Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan yang bertemu Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kubang Pasu, Kedah, selain STAR dan Kolej Yayasan Saad, Melaka.

Sebanyak 80 pasukan merangkumi 240 peserta mengambil bahagian dalam Pertandingan Debat Antara Sekolah Malaysia Kali ke-14, 2016 anjuran UIAM selama empat hari yang bermula semalam.

Pusingan akhir bagi kedua-dua kategori akan dipertandingkan pada esok.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X