Isnin, 25 Julai 2016 | 9:16am

Buang hijab syarat dapatkan kerja


Mona Alfadli yang berhijab diarah membuka hijab jika mahu bekerja di sebuah kedai barang kemas di Auckland. - Foto www.deccanchronicle.com

AUCKLAND: Seorang wanita Islam di New Zealand dimalukan apabila disifatkan cuma membuang masa ketika memohon kerja di sebuah kedai barang kemas sekiranya enggan menanggalkan tudung.

Mona Alfadli, 25, yang memohon jawatan pembantu jualan di Steward Dawsons di Auckland, diberitahu pengurus agar 'jangan bersusah-payah memohon' kerana tidak akan diterima kerana memakai tudung.

"Saya amat malu kerana memerlukan keberanian untuk memasuki kedai itu dan bercakap dengan pengurus mengenai jawatan berkenaan, terutama apabila saya bimbang ditolak," kata Alfadli.

Alfadli, yang tinggal di Avondale, mencari kerja sejak memperoleh diploma dalam kejuruteraan sistem komputer gunaan.

Beliau berkata, aspirasi untuk hidup di New Zealand adalah mencari tempat selamat bagi mereka sekeluarga apabila berada di negara itu sebagai pelarian dari Kuwait pada 2008.

"Saya boleh melakukan apa saja kerja, saya tidak kisah, tapi akan tetap memakai tudung, akan mengekalkan identiti saya dan menghormati budaya dan agama saya," Alfadli dipetik sebagai berkata oleh akhbar The New Zealand Herald.

Pegawai ketua kumpulan kewangan Stewart Dawsons, Kevin Turner, berkata beliau 'kecewa' dengan kejadian itu.

"Pengurus terbabit masih baru dengan syarikat ini. Dengan berkata seperti itu, beliau tidak mematuhi peraturan syarikat.

"Kami memandang serius perkara ini, dan akan membuat susulan," kata Turner. - AGENSI

75 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »