Isnin, 25 Julai 2016 | 8:36pm

4 melecur selepas sebuah turbin hidro terbakar

KEADAAN kebakaran membabitkan sebuah turbin hidro di bangunan utama Stesen Janakuasa Hidro Tenom, Pangi, di Tenom tengah hari ini. Pix ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tenom.
KEADAAN kebakaran membabitkan sebuah turbin hidro di bangunan utama Stesen Janakuasa Hidro Tenom, Pangi, di Tenom tengah hari ini. Pix ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tenom.

TENOM: Empat termasuk dua wanita dipercayai melecur apabila salah sebuah turbin hidro di bangunan utama Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, di sini terbakar, tengah hari tadi.

Kejadian pada jam 12.45 tengah hari itu mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna di sekitar Tenom, Keningau dan Tambunan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Affendy K Ramin, berkata semua mangsa yang melecur telah dihantar ke hospital daerah untuk rawatan lanjut.

"Bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.02 petang dan tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian. Operasi terkawal pada jam 3.05 petang," katanya dalam kenyataannya di sini

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Muhamad Nazri Pazil, berkata kejadian itu mengakibatkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna di sekitar Tenom, Keningau dan Tambunan, sejak tengah hari. 

"Bekalan elektrik masih belum dapat dipulihkan kepada kawasan terjejas setakat jam 5 petang.

"SESB kini sedang berusaha untuk memulihkan bekalan kepada kawasan berkenaan melalui sumber alternatif yang lain," katanya.

Muhamad Nazri berkata, siasatan masih dilaksanakan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehinggalah siasatan ini siap. 

"Bekalan elektrik yang disalurkan daripada stesen berkenaan kepada sistem Grid Sabah juga terpaksa dihentikan buat sementara waktu," katanya. 

Berita Harian X