Isnin, 25 Julai 2016 | 10:17pm

2 wanita Rohingya menyamar jual buku untuk mencuri

KAJANG: Dua wanita Myanmar keturunan Rohingya dikesan menyamar sebagai penjual buku agama untuk menyelinap masuk ke dalam rumah tanpa disedari penghuninya sebelum mencuri barang berharga, dalam dua kejadian berasingan di Bandar Baru Bangi, kelmarin.

Taktik itu terbongkar selepas penghuni sebuah rumah yang diceroboh menyedari ada seorang wanita tidak dikenali sedang menyelongkar barang dalam kediamannya.

Dalam kejadian pertama di Seksyen 16, kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang pada mulanya berada di dapur berasa curiga apabila ternampak pintu pagar dan pintu utama rumahnya terbuka dan sebuah beg sandang diletak berhampiran pintu masuk.

Berasa tidak sedap hati, mangsa yang berusia 55 tahun memeriksa sekitar rumahnya sebelum ternampak seorang wanita tidak dikenali sedang menyelongkar barang di dalam bilik dengan keadaan laci almari serta beg tangannya berselerak.

Mangsa yang terkejut kemudian menjerit memarahi suspek sehingga suaminya yang sedang tidur di ruang tamu, terjaga dan terus menangkap wanita Rohingya itu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nayan, berkata mangsa mendapati suspek sudah mengumpulkan barang berharga seperti cincin dan gelang di atas tilam, selain mendapati wang tunai RM1,500 dalam beg tangannya hilang namun suspek tidak mengaku mencuri wang itu.

"Suami mangsa dengan dibantu beberapa penduduk di situ berjaya menahan lagi wanita Rohingya yang juga rakan suspek di kawasan perumahan itu sebelum menghubungi pihak polis.

"Pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) dan baru mendapat kad berkenaan pada awal tahun dan awal Julai lalu," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Othman berkata, siasatan mendapati modus operandi suspek ialah dengan berpura-pura sebagai penjual buku agama dan masuk ke dalam rumah yang pagar dan pintu hadapan yang tidak berkunci untuk mencari peluang mencuri.

"Siasatan turut mendapati satu kes sama turut dilaporkan berlaku di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dipercayai didalangi suspek sama.

"Kedua-dua suspek, masing-masing berusia 39 dan 28 tahun itu direman tiga hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah," kata Othman lagi.

Berita Harian X