Selasa, 26 Julai 2016 | 12:03am

Program imunisasi peringkat global

NEGARA digemparkan dengan kemunculan wabak difteria pertengahan bulan lalu dengan sehingga kini 26 kes difteria dilaporkan di seluruh negara termasuk lima kematian.

Kemunculan semula penyakit difteria ini membimbangkan ramai pihak kerana ia adalah penyakit yang boleh dikawal menerusi pemberian imunisasi.

Peningkatan ketara golongan anti vaksin, mereka yang menolak pemberian imunisasi kepada anak masing-masing adalah antara punca munculnya kembali penyakit cegahan vaksin ini.

Antara sebab golongan itu menolak vaksin kononnya ia adalah agenda Yahudi untuk menghancurkan umat Islam sedangkan negara Israel sendiri turut memberi imunisasi kepada rakyat mereka.

Selain itu, dakwaan kandungan di dalam vaksin itu diragui halal sudah dijawab oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) vaksin yang digunakan di Malaysia adalah halal.

Malah, hujah golongan anti vaksin yang mengatakan bahawa imunisasi boleh menyebabkan kesan sampingan seperti autisme juga sudah dipatahkan apabila kajian yang menjadi rujukan mereka itu sebenarnya adalah tidak benar.

Di Malaysia, kerajaan menerusi KKM sudah memperkenalkan program imunisasi kebangsaan kepada rakyat sejak awal tahun 1950-an.

Perkhidmatan berkenaan diberikan percuma untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan batuk kering, hepatitis B, difteria, batuk kokol, demam campak dan lain-lain.

Selain Malaysia, semua negara di seluruh dunia juga mempunyai program imunisasi tersendiri untuk rakyat mereka.

Fakta

- Perlindungan imunisasi di peringkat global secara amnya adalah stabil dan terkawal

- Imunisasi ketika ini berjaya menghindarkan kira-kira dua hingga tiga juta kematian setiap tahun daripada penyakit difteria, tetanus, batuk kokol dan demam campak

- Tambahan 1.5 juta kematian dapat dihindarkan jika perlindungan imunisasi global dipertingkatkan

- Dianggarkan 19.4 juta kanak-kanak seluruh dunia masih tidak menerima vaksin asas seperti vaksin tiga serangkai iaitu difteria, tetanus dan batuk kokol (DTP3)

- Lebih 60 peratus kanak-kanak ini tinggal di 10 negara iaitu Angola, Republik Congo, Ethiopia, India, Indonesia, Iraq, Nigeria, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

- Pada tahun 2015, kira-kira 86 peratus atau 116 juta kanak-kanak seluruh dunia menerima vaksin DTP3

- Menjelang 2015, sebanyak 126 negara sudah mencapai perlindungan 90 peratus bagi vaksin DTP3 (sumber: WHO)

Perlindungan imunisasi global 2015 untuk lapan penyakit

Haemophilus Influenzae Jenis B (Hib)

- Penyebab penyakit meningitis dan pneumonia.

- Vaksin Hib sudah diperkenalkan ke 192 negara menjelang 2015

- Perlindungan global untuk 3 dos vaksin Hib dianggarkan sekitar 64 peratus

Hepatitis B

- Jangkitan virus yang menyerang hati

- Vaksin ini untuk kanak-kanak sudah diperkenalkan ke seluruh dunia di 184 negara menjelang 2015

- Perlindungan global untuk 3 dos vaksin Hepatitis B sudah mencecah 83 peratus

Demam campak

- Disebabkan oleh jangkitan virus

- Menjelang 2015, 85 peratus kanak-kanak sudah menerima satu dos vaksin demam campak pada tahun kedua

- 160 negara sudah menjadikan tambahan dos kedua dalam program imunisasi mereka

- 61 peratus kanak-kanak menerima dua dos vaksin demam campak peringkat global

Meningitis A

- Jangkitan yang boleh menyebabkan kerosakan teruka pada otak dan boleh menyebabkan kematian

- Menjelang 2015, selepas lima tahun vaksin ini diperkenalkan, lebih 235 juta penduduk di negara Afrika yang dijangkiti penyakit ini sudah menerima imunisasi MenAfriVac, vaksin yang dibangunkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan PATH.

Pneumokokal

- Penyebab penyakit pneumonia dan meningitis

- Vaksin pneumokokal sudah diperkenalkan kepada 128 negara menjelang 2015 dengan perlindungan global dianggarkan 37 peratus

Rubella

- Menyebabkan abnormaliti kongenital otak, pendengaran, penglihatan dan jantung pada anak dalam kandungan

- Vaksin rubella sudah diperkenalkan di 147 negara menjelang 2015

- Perlindungan global sekitar 46 peratus

Tetanus

- Vaksin ini diperkenalkan di 103 negara menjelang 2015

- Dianggarkan 83 peratus bayi baru lahir dilindungi daripada penyakit ini menerusi imunisasi

- Penyakit ini menjadi masalah kesihatan awam di 19 negara terutama di Afrika dan Asia

Demam kuning

- Dibawa oleh nyamuk

- Sehingga tahun lalu, vaksin penyakit ini sudah diperkenalkan di 35 negara

(sumber: WHO)

Antara negara yang mempunyai program imunisasi

Arab Saudi

- Perkenalkan imunisasi bermula dari bayi yang baru lahir hingga ke sekolah rendah

- Antara vaksin yang diberi ialah untuk BCG, Hepatitis B, Hib, Rotavirus, Pneumokokal dan MMR (Measles, Mumps and Rubella)

Australia

- Bermula dari bayi baru lahir hingga berusia 15 tahun

- Antara vaksin yang diberikan Hepatitis B dan MMR

Israel

- Bermula dari bayi baru lahir hingga berusia 13 tahun

- Antara vaksin yang diberikan MMR, human papilomavirus (HPV) dan DTaP

Jepun

- Bermula dari bayi baru lahir hingga 13 tahun

- Antara vaksin yang diberikan BCG, Hib, Pneumokokal dan MMR (Measles, Mumps and Rubella) dan HPV

Belanda

- Bermula dari bayi berusia tiga bulan hingga 12 tahun

- Antara vaksin yang diberikan Hib, MMR (Measles, Mumps dan Rubella) dan HPV

Qatar

- Bermula dari bayi baru lahir hingga 16 tahun

- Antara vaksin yang diberikan BCG, Hepatitis B dan MMR (Measles, Mumps and Rubella)

Berita Harian X