Selasa, 26 Julai 2016 | 10:59am
PASARAN saham Tokyo. - Gambar hiasan/AP

Saham Asia rendah, yen kukuh menjelang mesyuarat dasar AS, Jepun

SYDNEY: Sikap berhati-hati mengekang pasaran Asia hari ini, sekali gus menyokong yen untuk mengukuh menjelang mesyuarat bank pusat di Amerika Syarikat (AS) dan Jepun, sementara penyusutan harga minyak menjejaskan saham tenaga di Wall Street.

Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI jatuh 0.2 peratus.

Indeks Nikkei Jepun merosot satu peratus, dengan pelabur dilihat seolah-olah kurang yakin dengan laporan Nikkei bahawa kerajaan Jepun bercadang pakej rangsangan fiskal langsung kira-kira enam trilion yen (AS$56 bilion) untuk beberapa tahun ini.

Tindakan awal dalam mata wang memperlihatkan pound terjejas apabila Financial Times melaporkan anggota jawatankuasa yang menetapkan kadar Bank of England, Martin Weale, kini lebih berminat pada pelaksanaan pakej rangsangan segera.

Pound jatuh kepada AS$1.3093 daripada sekitar AS$1.3140 pada dagangan akhir di New York, tetapi mendapat sokongan pada zon AS$1.3060/76.

Bergerak secara bertentangan, yen melonjak tinggi ke paras 105.26 bagi satu dolar AS di tengah-tengah ketidaktentuan sebanyak mana Bank of Japan mungkin tawarkan pada mesyuarat dasarnya, Jumaat ini.

Sementara itu, pasaran juga melihat hampir tidak ada peluang kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan AS pada mesyuarat dasarnya esok.

Ketidaktentuan menyebabkan dolar AS kukuh di paras 97.256 berbanding kumpulan mata wang lain, sementara euro berada dalam jajaran sempit pada paras AS$1.0990.

Di Wall Street, Indeks Dow Jones Industrial Average mengakhiri dagangan semalam dengan kejatuhan sederhana sebanyak 0.42 peratus, sementara Indeks S&P 500 jatuh 0.3 peratus dan Indeks Nasdaq 0.05 peratus.

Saham Apple jatuh 1.3 peratus selepas BGC mengurangkan saranan terhadap saham itu kepada "jual" menjelang laporan perolehannya, hari ini.

Di pasaran komoditi, harga minyak jatuh menghampiri paras rendah dalam tempoh tiga bulan kerana lebihan global minyak mentah dan produk ditapis menjejaskan pasaran.

Harga minyak mentah di NYMEX berada pada paras tujuh cents lebih tinggi kepada AS$43.20, selepas jatuh dua peratus semalaman, sementara Brent naik 12 cents kepada AS$44.84 setong. - REUTERS

Berita Harian X