Selasa, 26 Julai 2016 | 1:53pm

Saham tempatan kekal rendah penutup sesi pagi

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia kekal rendah pada penutup sesi pagi hari ini kerana kebimbangan terhadap kejatuhan mendadak harga minyak mengekang permintaan di saham tempatan.

Pada jam 12.30 tengah hari, indeks penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 4.22 mata kepada 1,664.04, selepas bergerak antara 1,660.72 dan 1,666.99 sepanjang sesi pagi.

Jualan dilihat berlaku dalam kebanyakan saham mewah terpilih, terutama saham berkaitan minyak dan gas seperti Petronas Chemicals, SapuraKencana dan Petronas Gas.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 381 berbanding 245, dengan 340 kaunter tidak berubah, 736 tidak didagangkan dan 48 lain digantung.

Jumlah dagangan berada pada paras 722.98 juta saham bernilai RM529.1 juta.

Di papan skor, Indeks FBM Emas jatuh 37.65 mata kepada 11,646.29, Indeks FBM Emas Shariah merosot 40.5 mata kepada 12,242.99, Indeks FBMT100 36.72 mata lebih rendah kepada 11,343.31 dan Indeks FBM 70 susut 71.79 mata kepada 13,225.24.

Bagaimanapun, Indeks FBM Ace naik 1.61 mata kepada 5,420.74.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan jatuh 27.08 mata kepada 14,175, Indeks Perindustrian merosot 14.24 mata kepada 3,142.68 dan Indeks Perladangan berkurangan 33.04 mata kepada 7,567.16.

Di kalangan saham mewah, Public Bank naik 10 sen kepada RM19.48, IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM6.61 sementara TNB tidak berubah pada paras RM14.30.

Bagaimanapun, Maybank merosot satu sen kepada RM8.09.

Di kalangan aktif, Borneo Oil dan O&C Resources jatuh setengah sen masing-masing kepada 18 sen dan 41.5 sen. - BERNAMA

Berita Harian X