Selasa, 26 Julai 2016 | 6:04pm

E-Idaman cadang bina 180 loji biogas komuniti


KETUA Pegawai Eksekutif Environment Idaman (E-Idaman), Mhd Saiful Anuar Zainal beramah mesra bersama pengunjung pada sambutan Hari Raya E-Idaman di Stargate, Alor Setar. - Foto Amran Hamid

ALOR SETAR: Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal, Environment Idaman (E-Idaman) bercadang membina 180 loji biogas komuniti di kawasan perumahan, sekali gus mengurangkan kebergantungan tapak pelupusan sampah sedia ada di Kedah dan Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mhd Saiful Anuar Zainal, berkata cadangan terbabit dilihat antara langkah jangka panjang memandangkan jangka hayat tapak sedia ada semakin terbatas.

Katanya, pelaksanaan projek terbabit mampu mengurangkan 50 peratus sisa pepejal membabitkan makanan dan organik yang perlu dibuang di tapak pengumpulan sampah.

"Bagi satu loji yang bernilai RM500,000 itu, ia mampu memproses sisa pepejal dari 2,000 rumah untuk dijadikan tenaga dan gas bagi penggunaan komuniti.

"Kita sudah melaksanakan satu projek perintis di Kulim dan berdasarkan pencapaian yang ada, ia mampu memproses 500 kilogram (kg) sisa makanan dan organik sehari.

"Melihat kejayaan itu, kami yang merekodkan sebanyak 320,000 premis di bawah jadual pengutipan E-Idaman bercadang membina 180 loji dalam memastikan sisa yang dibuang dapat diproses sebaiknya," katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Raya E-Idaman di Stargate, di sini.

Mhd Saiful Anuar berkata, cadangan membina loji terbabit adalah projek jangka panjang kerana Kedah hanya mempunyai tujuh tapak pelupusan sampah, manakala Perlis hanya satu sahaja.

Katanya, kebanyakan tapak terbabit sudah mencapai had penggunaan dan ini sudah pasti akan menjejaskan pengumpulan sampah untuk dilupuskan.

"Sebelum ini, terdapat 12 tapak pelupusan sampah di kedua-dua negeri, tetapi lima daripadanya sudah mencapai had penggunaan dan ditutup, manakala bakinya pula tidak mampu diguna untuk jangka panjang kerana ada yang sudah mencapai had ditetapkan.

"Sekiranya kerajaan meluluskan langkah terbabit, kita yakin 50 peratus daripada sisa pepejal yang direkodkan 1,880 tan dapat dijadikan tenaga dan gas untuk kegunaan komuniti," katanya.

Berita Harian X