Selasa, 26 Julai 2016 | 7:44pm

Ratu cantik Colombia dipenjara 15 tahun seludup dadah

RATU cantik Colombia, Juliana Lopez Sarrazola.
RATU cantik Colombia, Juliana Lopez Sarrazola.

BEIJING: Seorang ratu cantik Colombia disabitkan atas tuduhan menyeludup dadah oleh sebuah mahkamah China dan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun, lapor media tempatan hari ini.

Akhbar Yangcheng Evening News berkata, Juliana Lopez Sarrazola, 23, ditangkap ketika memiliki komputer riba bersama 610 gram kokain disembunyikan di dalamnya di sebuah lapangan terbang di bandar selatan Guangzhou Julai tahun lalu.

Dia dijatuhi hukuman penjara 15 tahun semalam dan akan diusir dari negara itu sebaik menjalani hukuman, menurut laporan, yang menggambarkannya sebagai seorang model.

Video dihantar dalam talian menunjukkan Sarrazola merebut gelaran ratu cantik Senorita Antioquia 2014-15, yang mana pemenang berpeluang bertanding mewakili Colombia dalam pertandingan Miss World.

Akhbar berkata, Sarrazola berkata, dia bersetuju membawa dadah itu untuk seorang penjual dadah Colombia, dikenali sebagai Sergio dalam laporan itu kerana ratu cantik itu mahu meminjam wang daripadanya untuk hadir ke pertandingan Miss World.

Tiket penerbangan, hotel dan wang tunai AS$776 (RM3,155.49) dan tambahan AS$2,500 (RM6,099.52) jika penyeludupan itu berjaya.

Pertandingan akhir Miss World 2015 diadakan di Sanya di wilayah kepulauan Hainan, China. -Agensi

Berita Harian X