Rabu, 27 Julai 2016 | 12:07am
ANTARA pelakon tempatan yang terbabit dalam Kabali selain Rosyam ialah, Norman Hakim (kiri) dan Datuk Jalaludin Hassan. - Foto Munira Abdul Ghani
ROSYAM kini memiliki peminat di kalangan masyarakat India tempatan selepas pembabitannya dalam filem Kabali. - Foto Munira Abdul Ghani
PEMILIK Suhan Movies, Datuk Rosyam Nor atau nama sebenar, Mohamed Noor Shamsuddin. - Foto Mahzir Mat Isa
ROSYAM Nor ketika menghadiri previu filem Kabali di Pawagam Federal, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini. - Foto Nik Hariff Hassan
AKTOR legenda yang juga watak utama dalam filem Kabali, Rajinikanth.
ANTARA babak dalam Kabali.

Rosyam Nor berkebun untuk kekal sihat, kurus


SAAT pelakon seangkatan tidak lagi menerima watak utama, Datuk Rosyam Nor masih lagi menjadi antara pilihan penerbit bagi menggalas karakter besar.

Lalu, pasti ramai yang tertanya-tanya, apakah rahsia di sebalik kemampuannya untuk terus bertahan sebagai 'hero' pilihan selain bakat besar dianugerahkan Tuhan kepadanya itu?

Pemilik nama Mohamed Noor Shamsuddin, 49, berkata selain strategi promosi dan mempunyai komunikasi yang baik, beliau memastikan dirinya sentiasa kurus dan bertenaga agar penerbit yakin dengan kredibiliti beliau dalam membawakan sesuatu watak.

"Menjaga adab sesama rakan industri itu amat penting, termasuklah media. Dan kena ingat, usia kita akan tetap bertambah setiap tahun. Jadi, saya perlu pastikan tenaga dan tubuh badan saya sentiasa sihat dan kurus.

"Bagaimanapun, saya tidak pergi ke gimnasium seperti kebanyakan pelakon lain, sebaliknya lebih senang dengan cara berkebun di kebun sendiri," katanya yang mempunyai kebun nangka di Pahang.

ROSYAM menahan diri daripada berlakon drama, dalam usaha menampakkan diri lebih eksklusif. - Foto Munira Abdul Ghani

Dalam pada itu, kata aktor yang mula menghiasi layar lebar menerusi filem Gila-Gila Remaja (1985), beliau turut mengakui mahu menjadikan dirinya seorang pelakon eksklusif, yang memberikan tumpuan kepada aksi di filem.

Walaupun tahu pendapatan menerusi lakonan filem tidak besar berbanding drama, namun beliau mahu menampakkan dirinya lebih fokus dalam kerjaya lakonannya itu.

"Kalau nak tahu, berlakon filem bukannya banyak duit pun seperti drama. Saya terpaksa tahan untuk tidak ambil drama walaupun sering mendapat tawaran itu.

"Sebaliknya, saya cuba menampakkan diri lebih eksklusif dan nasib saya baik kerana saya mempunyai pendapatan selain di bidang lakonan. Apa yang saya buat ini adalah demi industri seni kita.

"Saya juga faham jika pelakon lain perlu berlakon drama dan filem sekali kerana itu adalah mata pencarian mereka. Tiada yang lain," ujarnya.

ROSYAM lebih senang dengan cara berkebun bagi memastikan tenaga dan tubuh badannya sentiasa sihat dan kurus. - Foto Munira Abdul Ghani

Sementara itu, seperti yang umum tahu, baru-baru ini Rosyam terbabit dengan penggambaran filem Tamil, Kabali, bersama beberapa lagi aktor tempatan iaitu Zack Taipan, Norman Hakim dan Yank Kassim.

Filem arahan Pa Ranjith yang menampilkan aktor legenda, Rajinikanth, sebagai tonggak utama itu ditayangkan bermula 22 Julai lalu. Pada 29 Julai ini pula, versi Bahasa Melayunya akan menemui penonton.

Kata Rosyam, meskipun hanya muncul sebagai watak sampingan, namun banyak ilmu ditimba daripada bintang tersohor itu dan kru produksi filem terbabit.

"Selain mengagumi cara kerja produksi yang membabitkan kru yang ramai, saya turut kagum dengan cara pembawaan diri Rajinikanth sebagai jenama besar dalam industri Kollywood, mengalahkan pelakon hebat lain.

"Walaupun usianya sudah 65 tahun, beliau turut diminati golongan kanak-kanak. Orang masih serbu dan pengsan setiap kali melihat dirinya.

"Melihat kehebatan beliau, saya juga berfikir mengenai cara untuk terus kekal diminati oleh kesemua golongan tanpa batasan usia," ujarnya.

Sementara itu, Rosyam berkata, dek impak berita mengenai pembabitannya dalam Kabali, beliau kini memiliki peminat di kalangan masyarakat India tempatan pula.

"Saya anggap ia perkembangan yang sangat positif apabila peminat India semakin ramai datang menegur saya. Ia dapat menarik minat mereka untuk menyaksikan lakonan saya bagi filem lain pula.

"Terkejut juga melihat ramai peminat bukan Melayu mengikuti akaun Twitter dan Instagram saya," tuturnya.

Berita Harian X