Rabu, 27 Julai 2016 | 10:47am

Hillary Clinton cipta sejarah

Hillary Clinton.
Hillary Clinton.

PHILADELPHIA: Hillary Clinton dipilih sebagai calon presiden Parti Demokratik Amerika, selepas bangkit dari kekalahan pertama untuk White House pada 2008, sekali gus menjadi wanita pertama mengetuai sebuah parti utama dalam sejarah Amerika Syarikat.

Dalam acara simbolik tanda perpaduan parti, bekas saingan Clinton, Senator Vermont, Bernie Sanders, memberitahu pengerusi majlis bahawa Clinton perlu dipilih sebagai calon parti itu pada sidang kemuncak konvensyen demokratik di Philadelphia.

"Saya mencadangkan supaya Hillary Clinton dipilih sebagai calon Parti Demokratik bagi kerusi Presiden Amerika Syarikat," kata Sanders kepada ribuan perwakilan di Pusat Wells Fargo, diiringi tepukan gemuruh.

Selepas hampir suku abad menjalani kehidupan sebagai wanita pertama, Senator AS dan Setiausaha Negara, Clinton akan menjadi pembawa panji-panji parti untuk berdepan calon Republikan, Donald Trump, pada pilihan raya 8 November depan sebaik beliau menerima pencalonan pada Khamis lalu.

Clinton yang berjanji untuk menangani ketidaksamaan pendapatan dan mengekang monopoli Wall Street sekiranya menjadi presiden, tidak sabar-sabar lagi untuk menggambarkan Trump sebagai seorang ahli perniagaan dan bekas personaliti realiti TV yang terlalu tidak stabil untuk duduk di Pejabat Oval.

Selasa lalu, perwakilan dari South Dakota memberikan Clinton 15 undi, secara rasmi memastikan beliau mempunyai lebih daripada 2,383 undi yang diperlukan untuk memenangi pencalonan.

Beliau meraih 2,842 undi keseluruhan berbanding 1,865 yang diperoleh Sanders. - Reuters

Berita Harian X