Rabu, 27 Julai 2016 | 1:07pm

Ika Nabella kahwin Sabtu ini


IKA Nabella bakal diijabkabulkan dengan pilihan hati, Muhammad Zaid, Sabtu ini. - Foto ihsan Putree Bridal

KUALA LUMPUR: Pelakon, Ika Nabella, bakal diijabkabulkan dengan pilihan hati, Muhammad Zaid, 29, Sabtu ini.

Menurut bintang Akademi Fantasia musim keenam berusia 27 tahun itu, ketika ini mereka berdebar menunggu masa untuk disatukan sebagai suami isteri.

Majlis resepsi sebelah pengantin perempuan akan diadakan sehari di Pulau Pinang selepas acara pernikahan. Pasangan ini ditunangkan pada 14 Mei lalu, juga di negeri kelahiran Ika.

"Saat ini, kami menunggu saja majlis dilangsungkan. Alhamdulillah, saya harap ia akan berjalan lancar dan semoga kami berdua akan berbahagia hingga ke syurga.

"Saya harap, semua dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya dan bakal suami," katanya sambil memberitahu, segala persiapan menghadapi hari bahagia sudah pun dilakukan.

Bercakap kepada BH Online, Ika berkata, beliau memang merancang untuk melangsungkan hari bersejarahnya di Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan keluarga.


PASANGAN ini ditunangkan pada 14 Mei lalu, juga di negeri kelahiran Ika. - Foto ihsan Putree Bridal

IKA memang merancang untuk melangsungkan hari bersejarahnya di Pulau Pinang bagi memenuhi permintaan keluarga. - Foto ihsan Putree Bridal

"Insya-Allah majlis bertandang sebelah suami akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Ogos depan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, Ika belum dapat memberikan kata putus berhubung hal itu.

"Ikut perancangan, ada beberapa destinasi yang kami ingin kunjungi, antaranya Amerika Syarikat, Eropah, Korea Selatan atau Jepun. Kalau tiada aral, mungkin kami akan berbulan madu pada September depan.

"Lagipun selepas bernikah, ada beberapa perkara perlu dilunaskan terlebih dulu. Selain majlis bertandang, adik bakal suami juga akan melangsungkan perkahwinan pada bulan depan," katanya.

Pada majlis pernikahan Sabtu ini, Ika memberitahu, pihaknya akan menghulurkan tujuh dulang hantaran kepada Muhammad dan dibalas dengan jumlah sama.

Beliau turut memberitahu, pihak lelaki menyediakan mas kahwin berjumlah RM1,008. Bagaimanapun, Ika memilih untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.

Berita Harian X