Ahad, 16 November 2014 | 6:51am

Perluas konsep UTC: Najib

NAJIB bersama Musa bersalaman dengan orang ramai pada majlis perasmian Konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Kompleks Likas, Kota Kinabalu, semalam. - Foto Malai Rosmah Tuah

[email protected]

KOTA KINABALU: Konsep Pusat Transformasi Bandar (UTC) sebagai pusat sehenti agensi dan jabatan Kerajaan Pusat, negeri dan swasta bagi memberi khidmat kepada rakyat, boleh dikembangkan dalam pelbagai aspek perkhidmatan yang lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata perluasan konsep itu membolehkan hasrat kerajaan meningkatkan lagi semua kualiti perkhidmatan, sama ada untuk rakyat, pelabur dan pelancong akan dapat dicapai.

"Saya nak menyatakan tiada mana-mana negara sekalipun di dunia yang ada pusat sehenti seperti UTC di Malaysia.

Permudah urusan

"Secara kebetulan pagi tadi (semalam) saya diberitahu oleh seorang menteri dari Sabah, beliau menggunakan perkhidmatan pejabat pendaftaran di UTC Sabah untuk memperbaharui pasport tamat tempoh dengan berbaris seperti rakyat biasa. Beliau dilayan dalam masa 40 minit sahaja.

"Ini bukti rakyat nak bayar cukai tanah, tukar MyKad atau nak dapat surat nikah pun cepat, saya kira ini semua hasil keprihatinan kerajaan dipimpin Barisan Nasional (BN)... ini bukti kerajaan BN ialah kerajaan untuk rakyat," katanya ketika merasmikan UTC Sabah di sini, malam tadi.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazan Dusun Murut Bersatu (UPKO) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Salleh Said.

NAJIB merasmikan Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah di sini, malam ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

UTC Sabah dibuka pada 16 Disember 2013, berperanan sebagai pusat sehenti yang menempatkan 41 agensi serta jabatan Kerajaan Pusat dan negeri bagi memudahkan orang ramai berurusan.

Perdana Menteri berkata, selain Sabah, UTC yang diwujudkan hasil inisiatif menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) sudah dibuka di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang, Perak, Kedah, Johor dan Sarawak, selain sebuah mini UTC Sentul di ibu negara.

"Selama ia beroperasi, bilangan pengguna pusat ini di Sabah melebihi 700,000 orang dan mereka dapat perkhidmatan Kerajaan Pusat serta negeri, badan bukan kerajaan (NGO), kemudahan riadah dan peluang perniagaan dari jam 8 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Rakyat manfaat UTC

"Secara keseluruhannya, lebih 7.5 juta pengguna di semua UTC seluruh negara menyatakan kepuasan terhadap khidmat disediakan," katanya.

Mengenai permintaan kerajaan Sabah supaya UTC diwujudkan di daerah lain khususnya luar bandar, Najib berkata, beliau akan mengambil kira permintaan itu demi kemudahan masyarakat negeri ini.

Beliau berkata, Malaysia kini berada di landasan tepat menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 berikutan pelbagai kejayaan yang mendapat pengiktirafan pada peringkat dunia.

"Hari ini ranking kita di dunia makin baik, terbaharu Bank Dunia meletakkan kita ke-18 terbaik daripada 189 negara, naik dua tangga dari kedudukan 20 pada tahun lalu, dari segi mudah menjalankan perniagaan.

SEKITAR Majlis Perasmian Bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sabah yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

"Malaysia juga mengatasi negara lebih maju seperti Taiwan, Switzerland, Belanda dan Jepun apabila mendapat tempat ketiga daripada 22 negara bagi penilaian negara pasaran baharu terbaik yang dikeluarkan oleh Bloomberg," katanya.

Terdahulu, Musa dalam ucapannya, berharap Kerajaan Pusat mewujudkan beberapa lagi UTC di Sabah bagi memberi peluang kepada rakyat di daerah lain terutama pedalaman mendapat perkhidmatan sama.

"Dalam konteks Sabah yang luas dan mempunyai taburan penduduk di seluruh negeri, tentu pembinaan UTC memudahkan, menjimatkan kos dari segi kewangan dan masa rakyat mendapatkan perkhidmatan yang diperlukan," katanya.

Berita Harian X