Rabu, 27 Julai 2016 | 5:32pm

Sultan Johor nafi keluar kenyataan kejatuhan nilai ringgit


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. - Foto Yazit Razali

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, menafikan ada mengeluarkan kenyataan bertajuk 'Terkini Ringgit jatuh RM4.4' yang dimuat naik dalam laman media sosial.

Sultan Ibrahim bertitah, tiada kenyataan sedemikian pernah dikeluarkan oleh baginda, atau pejabat Istana Johor dan memandangnya sebagai bersifat memfitnah, perlakuan mengaibkan, mencalar maruah dan patut dikecam.

"Telah sampai ke perhatian saya bahawa wujud dan tersebarnya satu kenyataan dimuat naik yang tidak bertanggungjawab di laman media sosial bertajuk 'Terkini Ringgit Jatuh RM4.4'.

"Saya ingin menegaskan bahawa tiada kenyataan sedemikian pernah dikeluarkan oleh saya, mahupun pejabat saya, dan saya memandang ia sebagai bersifat memfitnah, satu perlakuan yang mengaibkan, mencalar maruah dan patut dikecam," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dimuat naik dalam laman rasmi Facebook milik baginda, hari ini.

Sultan Ibrahim berkata, kebelakangan ini, beberapa kenyataan tidak wajar tersebar di laman media sosial yang memberikan gambaran ia dikeluarkan oleh ahli Keluarga Diraja Johor.

"Minggu lalu, seorang wanita muda dari Batu Pahat menyebarkan khabar angin di media sosial bahawa isteri saya, Permaisuri Johor menitahkan larangan ke atas solat dan laungan azan.

"Publisiti murahan oleh individu ini amat menyakiti dan mendukacitakan isteri saya. Kita hidup di zaman media sosial dan kami Keluarga Diraja menggunakan ia sebagai perantara untuk mendekati dan berhubung dengan warga Bangsa Johor.

"Namun demikian, ada yang menyalahgunakan saluran media untuk mendapat perhatian.

"Saya menggesa pengguna media sosial untuk memeriksa sumber sesuatu perkara yang dimuat naik dalam memastikan kesahihannya dan tidak secara membuta tuli mengikut pandangan ramai dan mempercayai serta menyebarkan pernyataan yang jelas salah serta daripada sumber yang ternyata tidak boleh dipercayai," katanya.

Baginda berkata, berhubung perkara yang berkaitan politik negara, Istana Johor mengekalkan pendirian tegas berkecuali.

"Sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli Keluarga Diraja Johor hanya akan dilakukan melalui laman rasmi akaun Facebook kami.

"Semakin sensasi dan bersifat menghasut sesuatu berita itu, lebih lagi ia menuntut anda, pembaca yang bijak bestari untuk lebih berwaspada tentang punca dan niat buruk seseorang itu," titah baginda.

260 dibaca
Berita Harian X