Khamis, 28 Julai 2016 | 12:13am
KAWASAN jeti nelayan yang dikatakan Kubu Bentayan. - Foto Syarafiq Abd Samad
KAWASAN jeti nelayan yang dikatakan Kubu Bentayan. - Foto Syarafiq Abd Samad
TERMINAL Bas Bentayan Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

Kubu Bentayan - Kisah perjuangan yang semakin dilupakan


MUAR: Jika anda ke kawasan Terminal Bas Bentayan Muar yang terletak di tengah bandar, tiada apa yang unik selain daripada kesibukan penumpang yang turun naik bas ataupun pengunjung yang bertandang ke Pasar Besar Muar yang terletak bersebelahan terminal itu.

Bagi mereka yang peka dengan sejarah, lokasi terbabit sudah menjadi destinasi wajib untuk dikunjungi kerana ia menempatkan sisa kecil Kubu Bentayan yang menjadi saksi terhadap pertempuran pahlawan Melayu dalam menentang Portugis.

Kubu Bentayan diwujudkan oleh Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah sebagai kubu pertahanan terakhir Empayar Kesultanan Melayu Melaka pada 1511 bagi menentang serangan armada Portugis sebaik sahaja kota Melaka jatuh ke tangan penjajah.

Mengikut sejarah, selepas kejatuhan kota Melaka pada 24 Ogos 1511, baginda berundur ke Batu Hampar kemudiannya ke Bertam, sebelum membuat keputusan untuk bertapak di pinggir Sungai Muar pada bulan yang sama.

Penasihat Persatuan Sejarah Cawangan Muar, Khamis Joned, 82, berkata Kubu Bentayan dibina bukan sahaja sebagai kubu pertahanan sahaja, malah sebagai pusat operasi strategik angkatan Melaka untuk menyerang balas terhadap armada Portugis yang dipimpin oleh Alfonso D'Albuquere.

TERMINAL Bas Bentayan Muar. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Apabila Portugis menyerang dan berjaya menawan Melaka, Sultan Melaka pada masa itu bersama anakanda baginda berundur ke Muar kerana kedudukannya yang tidak jauh dan strategik untuk digunakan sebagai pusat melakukan serangan balas semula.

"Jadi, mereka menjadikan pinggir Sungai Muar ini sebagai lokasi terbabit dan memilih kawasan Parit Bentayan untuk dijadikan sebagai kubu pertahanan. Nama Bentayan ini diambil sebab kawasan ini banyak buaya dan biawak pada masa itu,

"Jika tidak salah, Sultan Mahmud Syah bersama seorang daripada anakanda baginda membuat kubu di kawasan Bentayan, manakala seorang lagi anakanda baginda iaitu Sultan Alaudin Riayat Syah pula membuat kubu pertahanan di Pagoh yang terletak jauh sedikit ke ulu Sungai Muar" katanya ketika ditemui di rumahnya di Parit Sakai, dekat sini.

Bagaimanapun Khamis berkata, usaha Sultan Mahmud Syah dan anakanda baginda membuat kubu pertahanan di Sungai Muar berjaya dihidu oleh pihak Portugis yang sudah mulai bertapak di Melaka.

"Kenapa Sultan Mahmud Shah memilih Muar sebagai lokasi baginda berundur?, ini kerana kedudukan Muar yang hampir dengan Melaka, selain ramai pengikut baginda juga dikatakan sudah berkumpul di Muar.

PENASIHAT Persatuan Sejarah Cawangan Muar, Khamis Joned. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Lagi pun, Muar sememangnya sudah terkenal pada waktu itu kerana daerah ini sudah wujud sebelum adanya Kota Melaka lagi tetapi pada masa itu masih dikenali dengan nama Padang.

"Bagaimanapun, Portugis yang berjaya mengesan kedudukan baginda kemudiannya cuba mengumpul kekuatan untuk menyerang Kota Bentayan ini bagi memastikan tiada lagi tentangan daripada perajurit Melaka yang akan menyerang Melaka," katanya.

Beliau berkata, tidak lama selepas kejatuhan Kota Melaka, armada Portugis kemudiannya berangkat ke Muar untuk misi menghancurkan saki baki tentera Kesultanan Melayu Melaka.

"Apabila armada Portugis tiba di Sungai Muar, maka berlakulah satu pertempuran sengit antara kedua-dua angkatan tentera ini yang saling berbalas serangan antara satu sama lain.

"Bagaimanapun asakan serangan yang bertali arus daripada pihak Portugis menyebabkan ramai perajurit Kesultanan Melayu Melaka  gugur dan menyebabkan hampir keseluruhan Kota Bentayan ini musnah," katanya.

Khamis berkata, akibat tewas daripada pertempuran itu, Sultan Mahmud Syah kemudiannya melarikan diri sekali lagi ke Pagoh untuk bertahan daripada serangan Portugis itu.

"Akibat serangan itu, beberapa pahlawan Melayu dan kaum kerabat Kesultanan Melayu Melaka ada yang terpaksa menyelamatkan diri ke Pahang dan Melaka untuk berlindung.

"Sultan Mahmud Syah sendiri tidak lama selepas itu kemudiannya ke Kampar, Sumatera untuk merancang serangan bagi merampas semula Melaka. Namun, baginda dilaporkan mangkat di sana," katanya.

Beliau berkata, usaha baginda kemudiannya diteruskan oleh anakandanya, Sultan Alaudian Riayat Shah yang juga dikenali sebagai Marhum Pagoh kerana mangkat dan dimakamkan di Kampung Raja, Pagoh.

"Sultan Alaudin Riayat Shah ada juga cuba melancarkan beberapa serangan terhadap kedudukan Portugis di Melaka, namun usahanya kurang mendapat kejayaan.

"Baginda kemudiannya membuat kota baharu di kawasan Pagoh dan bertahan di kawasan terbabit sebelum mangkat di Pagoh. Legasi baginda yang kemudiannya ke Kota Tinggi dan mewujudkan Kesultanan Melayu baharu yang dinamakan sebagai Johor Lama.

Sementara itu, tinjauan BH ke lokasi terbabit mendapati hanya sebuah papan tanda peringatan mengenai kewujudan Kubu Bentayan yang terletak antara terminal bas ekspres dan medan selera, berhampiran dengan hentian teksi.

PAPAN tanda peringatan mengenai kewujudan Kubu Bentayan. - Foto Syarafiq Abd Samad

Usaha BH untuk menjejaki saki baki runtuhan terbabit juga tidak berjaya apabila difahamkan kebanyakan kubu terbabit sudah lama tidak ditemui akibat faktor masa, selain ia sudah dibangunkan sebuah pasar dan terminal bas ekspres di kawasan terbabit.

BH juga dimaklumkan bahawa selain Kubu Bentayan, sebuah lagi kubu berbentuk tiga segi di tapak yang hampir sama yang dikenali sebagai Forteleza De Muar yang dibangunkan oleh Portugis selepas itu juga sudah lenyap.

Bagi penduduk Muar, hanya papan peringatan itu sahaja yang dapat menceritakan sejarah pertempuran hebat pahlawan Melayu dengan penjajah Portugis, selain sebuah peta lama yang menunjukkan lokasi tepat Forteleza De Muar.

Mungkin sejarah mengenainya juga akan dapat terus dikenang apabila Majlis Perbandaran Muar (MPM) akan melaksanakan projek Gerbang Bentayan di lokasi terbabit dalam tempoh terdekat seiring dengan pembangunan pesat yang berlaku di bandar Muar.

Walaupun sejarah terbabit tidak meninggalkan sebarang sisa untuk dikenang, dengan inisiatif baharu itu kelak diharapkan akan dapat mendekatkan generasi kini dan akan datang untuk terus menghayati sejarah perjuangan bangsa buat selamanya.

FAKTA

  • terletak di Bandar Muar
  • Kubu Bentayan di bina pada Ogos 1511
  • Di Kenali Sebagai Kubu Pertahanan Terakhir Kesultanan Melayu Melaka.
  • Makam Sultan Alaudin Riayat Shah di Kampung Raja Pagoh adalah satu-satunya Makam Sultan Melaka yang wujud sehingga hari ini
Berita Harian X