Khamis, 28 Julai 2016 | 7:17am

Wahid, Rahman mungkin terajui PNB

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai kemungkinan perubahan besar akan berlaku dalam pengurusan tertinggi Permodalan Nasional Bhd (PNB) semakin bertiup kencang dengan ura-ura peralihan jawatan Pengerusi dan Presiden pengurus dana amanah terbesar tempatan itu mungkin direalisasikan seawal bulan depan.

Antara nama yang disebut-sebut bakal menggantikan Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar, manakala bekas Ketua Pegawai Eksekutif Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas), Datuk Abdul Rahman Ahmad mungkin calon pilihan menggantikan Presiden PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pertanyaan BH melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Wahid untuk mendapatkan pengesahan perkara itu bagaimanapun tidak dijawab, manakala usaha menghubungi Rahman juga tidak berjaya.

Sebelum ini, jawatan pengurusan tertinggi PNB antara yang paling banyak diperkatakan memandangkan Ahmad Sarji dan Hamad Kama Piah adalah antara tokoh korporat paling lama berkhidmat untuk sesebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) di Malaysia.

Antara nama yang disebut-sebut sebelum ini termasuk calon daripada GLIC dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain. Mereka termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Bhd, Tan Sri Mohd Bakke Salleh serta bekas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Ismee Ismail.

Jika spekulasi itu menjadi kenyataan, Wahid bakal menggantikan Ahmad Sarji, yang ketika ini adalah pengerusi bukan eksekutif PNB sejak 1996.

Rahman pula akan mengambil alih jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang dipegang oleh Hamad Kama Piah sejak 1998.

Pelantikan Wahid dan Rahman, jika menjadi kenyataan, kata pemerhati pasaran akan menyaksikan 'gandingan lebih muda' untuk menyuntik idea baharu dalam memacu pertumbuhan seterusnya PNB.

Sebelum menyertai Kabinet, Wahid dilabel sebagai salah seorang tokoh korporat paling versatil apabila memimpin tiga organisasi utama dalam sektor berlainan iaitu perkhidmatan kewangan, telekomunikasi serta infrastruktur.

Beliau mengetuai bank terbesar tempatan, Maybank yang juga syarikat di bawah portfolio PNB, selepas menerajui transformasi Telekom Malaysia Bhd (TM) menjadi firma telekomunikasi serantau dan mengetuai proses pemulihan UEM Group susulan pengambilalihan daripada Khazanah Nasional Bhd.

Semasa menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau bertanggungjawab menyelia beberapa agensi kerajaan seperti Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit Kerjasama Awam-Swasta (UKAS), Jabatan Perangkaan, Ekuinas, Talent Corporation, TERAJU dan Yayasan Pendidikan Peneraju Bumiputera.

Rahman pula dikenali sebagai antara pemimpin korporat muda yang dilantik mengetuai pelan pemulihan GLC pada awal 2000-an.

Beliau adalah individu penting dalam penubuhan Ekuinas dengan menjadi Ketua Pegawai Eksekutifnya sejak 2009.

Sebelum itu, beliau adalah Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Bhd serta Pengarah Urusan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB).

INFO

Permodalan Nasional Bhd (PNB)

* Pengurus pelaburan terbesar Malaysia dengan jumlah dana lebih daripada RM255 bilion

* Melabur di dalam lebih 200 syarikat di Malaysia dalam pelbagai sektor ekonomi utama

* Antara syarikat dilabur mempunyai trek rekod cemerlang termasuk Maybank, I&P Group Sdn Bhd, UMW Holdings Bhd dan Sime Darby Berhad

Berita Harian X