Khamis, 28 Julai 2016 | 11:09am

Rayer bebas daripada tuduhan menghasut

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membebaskan dan melepaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer, daripada tuduhan hasutan yang difailkan terhadapnya dua tahun lalu.

Hakim Ibrahim Osman membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kenyataan 'celaka' oleh Rayer mempunyai kecenderungan menghasut.

"Kenyataan itu tidak merujuk kepada kaum tertentu dan ucapan itu secara jelas ditujukan kepada individu tertentu iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Shabudin Yahaya.

"Mahkamah bersetuju perkataan makian atau hinaan tidak boleh secara tersirat. Justeru, perkataan 'celaka' itu tidak dirujuk kepada kaum Melayu walaupun UMNO diwakili oleh kaum berkenaan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Rayer didakwa mengeluarkan perkataan 'celaka celaka UMNO' pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Mei 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1)b Akta Hasutan.

Rayer diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh, manakala pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Aimy Zainul Anwar dan Lim Saw Sim.

Berita Harian X