Khamis, 28 Julai 2016 | 6:09pm

Status OKU bukan penghalang kejayaan


PENERIMA Anugerah Khas MARSAH, Noor Hidayah Mohd Yusof (tengah) bergambar bersama ibunya, Hadijah Husin, 60 (kiri) dan bapa, Mohd Yusoff Che Husin, 67 (kanan) meraikan hari istimewa pada majlis Konvokesyen ke-16 MARSAH di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru. STR/Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Pelajar kelainan upaya (OKU) Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Nur Hidayah Mohd Yusof, dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada Majlis Konvokesyen ke-16 MARSAH di Pusat Islam Iskandar Johor di sini, hari ini.

Berasal dari Kuala Krai, Kelantan, kejayaan anak penoreh getah itu lebih istimewa apabila turut diraikan bersama ibu bapanya.

Nur Hidayah, 22, berkata masalah penglihatan yang dialami sejak lahir tidak menghalangnya berjaya hingga menjadi pelajar terbaik.

"Saya sentiasa mengulang kaji pelajaran dan menjadikan al-Quran sebagai cahaya kehidupan.

"Cara saya belajar berbeza dengan pelajar normal yang mana saya menggunakan alat bantuan pendengaran seperti MP3 untuk mendengar bacaan ayat suci al-Quran sambil menggunakan Braille, selain bantuan rakan yang membacakan nota," katanya.

Anak bongsu daripada 10 beradik itu terpilih berikutan prestasi cemerlang dalam Diploma Tahfiz Al-Quran Wa Al Qiraat dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 dan aktif kokurikulum, termasuk menjuarai pertandingan hafazan peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Penerima Anugerah Menteri Besar, Rasyidah Rahmat Teo, 22, berkata jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) MARSAH, tidak menjejaskan prestasi akademiknya.

Seramai 155 graduan menerima sijil diploma pelbagai bidang pengajian antaranya Diploma Tahfiz al-Quran Wa Al-Qiraat, Usuluddin, Syariah Islamiah dan Pendidikan Islam dan Sijil Kemahiran Bahasa Arab, hari ini.

Majlis konvokesyen ke-16 MARSAH disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Abdul Mutalib Abd Rahim.

84 dibaca
Berita Harian X