Jumaat, 29 Julai 2016 | 12:04am
RUHAINIES tidak mahu putuskan hubungan profesional dengan sesiapa termasuk Datuk Red.- Foto Munira Abdul Ghani
SELEBRITI, berdiri dari kiri, Sufi AF, Reen Rahim, Ruhainies dan (barisan depan kiri) Amar Effendi, Rozita Che Wan (dua kanan) serta Zain Saidin (kanan) pada majlis sambutan Aidilfitri Media Prima Berhad 2016 di Balai Berita. - Foto Munira Abdul Ghani

Ruhainies mahu kekalkan 'hubungan' dengan Datuk Red


BIARPUN masih begitu baharu dalam arena seni, kehadiran pelakon, Ruhainies, nyata membuka mata banyak pihak.

Bukan sekadar dikenali menerusi drama Hello Mr Perfect, gadis seiras Nora Danish ini juga diperkatakan ramai kerana terpalit beberapa kontroversi.

Sebaik saja namanya diumumkan sebagai finalis kategori Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, beberapa bulan lalu, muncul cerita kononnya beliau disingkirkan daripada program percutian bersama hero dalam drama popular itu, Fattah Amin, dek campur tangan pihak lain.

Tidak berapa lama kemudian, keluar pula gosip 'perang dingin' antara dirinya dengan seorang lagi bintang baharu, Janna Nick.

Terbaharu, foto dan video memaparkan dirinya bersama suami Adira, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red, keluar bersama di sebuah pusat beli-belah di ibu kota tersebar.

Buat kesekian kali, Ruhainies harus tampil memperjelaskan segala cerita panas mengaitkan dirinya. Maklum saja, andai tidak dikawal dengan baik, kontroversi sebegitu berupaya mencalar imej seterusnya memusnahkan kerjaya seni artis muda ini, yang baru hendak bertapak kukuh.


RUHAINIES mengakui sedar ada pihak mempunyai persepsi dan pandangan negatif terhadap dirinya. - Foto Munira Abdul Ghani

Tidak terhenti di situ, rakan gandingannya dalam drama Menantu Ting Tong, Azrel Ismail, pula menafikan dirinya kekasih pelakon itu walaupun sebelum ini aktor baharu berkenaan tampil memberikan kenyataan yang seakan-akan mempertahankan Ruhainies apabila dirinya hebat dihentam netizan gara-gara kontroversi gambar 'dating' terbabit.

Justeru, bukan sekadar digelar 'perosak rumah tangga', si genit ini juga kini didakwa sebagai 'playgirl' rentetan kenyataan dikeluarkan Azrel.

"Saya anggap isu saya dengan Janna sudah berakhir. Mengenai kontroversi membabitkan Datuk Red pula, apa yang terjadi di luar kawalan dan saya tidak dapat menduga semua ini.

"Apa yang saya boleh katakan, ia hanya salah faham. Saya juga enggan menuding jari atau meletakkan kesalahan ke atas bahu sesiapa. Jika cuba selamatkan diri, saya seperti membuka aib pihak satu lagi.

"Bagi saya, kes terbabit juga sudah selesai. Saya tidak mahu memutuskan hubungan silaturahim sesama manusia. Cukup saya dan orang yang rapat termasuk keluarga tahu perkara sebenar.


RUHAINIES tidak menduga terjebak kontroversi membabitkan Datuk Red. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya juga sudah tegaskan, memang tiada langsung hubungan istimewa antara kami (dengan Datuk Red). Tiada perasaan cinta atau apa saja yang mungkin difikirkan orang di sana," katanya dalam pertemuan bersama BH ketika pelakon ini memeriahkan majlis Aidilfitri warga kerja NSTP di Balai Berita, Rabu lalu.

Tegas pelakon kelahiran Sungai Petani ini, beliau hanya berurusan dengan Datuk Red atas dasar kerja. Malah, selepas isu berkenaan menjadi sensasi, isteri kedua lelaki itu, Adira, juga ada menghubunginya.

"Saya dan Adira berkomunikasi menerusi telefon beberapa kali selepas insiden itu. Dia memahami apa yang berlaku dan dia lebih kenal suaminya itu. Bukan senang untuk saya menjelaskan perkara sebenar dan memuaskan hati orang. Justeru, saya anggap semua ini sebagai dugaan. Asalkan Adira tahu situasi sebenar dan saya tidak berbuat perkara salah, ia sudah cukup jelas di sini. Saya pasti, lama-lama isu ini akan reda juga.

"Saya dengan Datuk Red memang hanya bertemu atas dasar kerja. Saya pernah menjalani penggambaran video korporat syarikat miliknya. Kali pertama kami berjumpa pada bulan puasa lalu. Ketika penggambaran diadakan, selain Datuk Red, isteri pertama (Datin Red) dan kira-kira 40 kakitangannya turut ada bersama.

"Seterusnya saya berjumpa dengannya ketika majlis berbuka puasa diadakan bersama stafnya di sebuah hotel di One Utama. Datin Red pun ada sekali. Kali ketiga, kami bertemu ketika terjadinya insiden viral itu," katanya.

Selepas kontroversi tercetus, Ruhainies tak cepat melatah dan berasakan dirinya tidak perlu menjauhi lelaki terbabit.


RUHAINIES mula mencipta nama menerusi drama Hello Mr Perfect. - Foto Munira Abdul Ghani

"Apabila bekerja dengan orang, kalau boleh saya tidak mahu putuskan hubungan profesional itu. Mana tahu, ada projek lain yang boleh membabitkan kerjasama lagi pada masa akan datang? Jika apa yang terjadi itu tidak memudaratkan dan tak menimbulkan fitnah, untuk apa saya memutuskan silaturahim yang terjalin? Saya sendiri bukan sempurna untuk menghukum orang.

"Saya lihat soal kerja ini sebagai punca rezeki sampingan. Pada masa sama saya kena jadi profesional. Jika ia memudaratkan dan terus mengundang salah sangka, nescaya saya akan elak hubungan kerja itu daripada terus terjalin," katanya.

Mengenai tanggapan sesetengah orang kononnya beliau seorang 'playgirl', pelakon dengan nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, yang genap 24 tahun pada 27 Julai lalu, sedar ada yang mula memberikan pandangan semacam terhadap dirinya.

"Memang orang akan nampak yang negatif, termasuk diri saya seperti 'playgirl'. Namun berkaitan kenyataan Azrel itu, saya lihat sesiapa saja berhak memberikan pandangan.

"Azrel sendiri memberikan pendapatnya sebagai kawan. Dia tak pernah pun sebut saya sebagai kekasihnya. Begitupun tidak dinafikan, saya antara wanita yang rapat dengannya atas dasar kawan.

"Mungkin ada pihak yang salah tafsir atau tersalah dengar hingga meletakkan hubungan kami sebagai istimewa. Namun begitu, sebagai manusia biasa, kalau ada jodoh dengannya, saya tidak menolak. Dia seorang lelaki yang sangat baik," katanya.

Berita Harian X