Jumaat, 29 Julai 2016 | 3:20pm

Kontroversi ruang bermuhasabah diri - Janna Nick


PELAKON, Janna Nick. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Pelakon Janna Nick, 21, mengaku dirinya tidak lagi boleh mempercayai orang lain dengan mudah dalam usaha mengelakkan kontroversi daripada berulang.

Selepas segala episod panas, termasuk 'pergeseran' dengan seorang lagi bakat baharu, Ruhainies, bintang drama Suami Tanpa Cinta ini berkata beliau harus lebih berhati-hati dalam tindakan, tidak kiralah dengan sesiapa saja.

"Selepas ini, saya kena lebih berhati-hati dengan sesiapa saja. Saya tidak boleh mudah percayakan orang. Saya juga tidak boleh terlalu terbuka.

"Kita tidak tahu hati orang lain. Rambut saja sama hitam, tetapi hati lain-lain.

"Benar, kontroversi itu memang banyak memberi pengajaran. Saya turut bersyukur apabila ia terjadi ketika saya masih muda. Kalau semua ini terjadi ketika saya sudah berusia 30 tahun ke atas, mungkin saya takkan belajar apa-apa," katanya.

Janna turut melihat kontroversi yang dihadapinya sebagai ruang untuk bermuhasabah diri. Lebih daripada itu, beliau yang enggan mengenang perkara lalu langsung tidak berdendam dengan pelakon berkenaan.

"Saya mengambil segala apa yang terjadi secara positif. Saya percaya, setiap apa yang terjadi mempunyai hikmah tersendiri.

"Hidup kita pun bukan selalunya indah. Seperti dalam drama mahupun filem, hidup ini bersilih ganti antara suka dan duka. Saya sendiri tidak mahu terlalu larut dengan perkara sebegini. Ia hanya membuatkan diri lebih tertekan," katanya yang kini terbabit dalam penggambaran drama Biar Aku Jadi Penunggu.

Berita Harian X