Ahad, 16 November 2014 | 1:48pm

Khairy yakin kemampuan Dollah harungi Piala AFF

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut serta dalam acara senam aerobik pada program Fit Malaysia peringkat negeri Pahang di padang MPK 2, Kuantan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin turut serta dalam acara senam aerobik pada program Fit Malaysia peringkat negeri Pahang di padang MPK 2, Kuantan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

KUANTAN: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melahirkan keyakinan dengan keupayaan dimiliki jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh dalam membawa pasukan itu pada saingan Piala AFF Suzuki 2014 di Singapura, bermula 23 November depan.

Katanya, mana-mana pihak tidak sepatutnya meragui apa saja keputusan yang diambil oleh jurulatih tersebut terutamanya dari segi pemilihan pemain yang akan beraksi pada perlawanan itu nanti.

"Saya tak nak komen lebih, saya yakin jurulatih Dollah Salleh tahu apa yang dia perlu buat, jadi kita tidak perlu komen lebih-lebih... biar dia buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fit Malaysia Pahang di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 2 di sini, hari ini.

Beliau berharap Dollah dan anak buahnya akan memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan dalam kejohanan itu nanti.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan dengan berdepan Myanmar pada 23 November diikuti Thailand pada 26 November.

Kedua-dua perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi pusingan awal menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, pada 29 November ini.

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) bermesra dengan peserta berbasikal pada program Fit Malaysia peringkat negeri Pahang di pekarangan Stadium Darul Makmur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) bermesra dengan peserta berbasikal pada program Fit Malaysia peringkat negeri Pahang di pekarangan Stadium Darul Makmur, hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

Vietnam yang menjadi tuan rumah bersama, akan mengetuai cabaran kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu Filipina, Indonesia dan Laos. Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, pihaknya kini memberikan tumpuan dan keutamaan kepada pendengaran kes doping jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berbanding perkara lain.

Beliau berkata, isu lain seperti cadangan menyemak semula fungsi Institut Sukan Negara (ISN) bukan menjadi keutamaan beliau pada masa ini.

"Apa pun semakan yang perlu kita buat (terhadap ISN), kita akan memberi tumpuan selepas kes perbicaraan Lee Chong Wei selesai, itu yang menjadi keutamaan kita sekarang," katanya.

Chong Wei kini digantung sementara oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang 'dexamenthasone' ketika beraksi pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos lalu.

Perbicaraan kes doping Lee dijangka bermula awal bulan depan. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X