Jumaat, 29 Julai 2016 | 4:23pm

Dzulkifli Ahmad dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM

ALI Hamsa menyampaikan surat pelantikan kepada Dzulkifli (kanan) berkuatkuasa 1 Ogos 2016 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Pengarah Pasukan Penguat Kuasa Pemulihan Hasil Negara di Jabatan Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Dzulkifli yang dilantik dengan tempoh perjawatan sehingga 31 Julai 2021, menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed yang tamat perkhidmatannya dan ditempatkan sebagai Pakar Perunding Integriti, Fakulti Undang-Undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Dzukifli diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, selaras subseksyen 5 (1) Akta SPRM 2009.

Ali juga mengumumkan pertukaran Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen berkuat kuasa 1 Ogos ini, menggantikan Datuk Seri Sakib Kusmi yang ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pada 23 Jun lalu, Ali mengumumkan Abu Kassim, 55, tidak akan meneruskan perkhidmatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini, seperti dipohonnya.

Katanya selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.

Ali hari ini turut mengumumkan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur ditempatkan sebagai KSU Kementerian Pendidikan Tinggi mulai 5 Ogos ini (2016) bagi menggantikan Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Zaini pula akan ditempatkan sebagai KSU Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mulai 5 Ogos ini bagi menggantikan Datuk Loo Took Gee yang bersara pada tarikh berkenaan, katanya.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Azhar Yahaya ditempatkan sebagai KSU kementerian itu menggantikan Noorul Ainur, katanya.

ABU Kassim (tengah) dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull (kiri) diraikan pada majlis persaraan Paluan Berundur berkuat kuasa pada 1 Ogos di ibu pejabat SPRM, di Putrajaya, hari ini.
- Foto BERNAMA

Berita Harian X