X
Sabtu, 30 Julai 2016 | 12:03am

Resipi Ayam Golek Bersantan

CEF Sous Melayu, Alipah Kandar menunjukkan ayam golek bersantan yang dihasilkannya. - Foto Munira Abdul Ghani
CEF Sous Melayu, Alipah Kandar menunjukkan ayam golek bersantan yang dihasilkannya. - Foto Munira Abdul Ghani

MULA popular di negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, kini ayam golek atau ayam percik biasa kita jumpa di pasar malam majlis kenduri kahwin dan pelbagai acara lain.

Banyak resipi penyediaan menu ayam golek yang berbeza mengikut tradisi dan budaya masing-masing.

Cara memasaknya kadangkala berlainan menjadikan ia istimewa bagi sesetengah penggemarnya.

Tidak ketinggalan, Hotel Armada di Petaling Jaya turut menyediakan menu ayam golek bersantan yang unik kerana menambah santan dalam ramuan.

Cef Sous Melayu, Alipah Kandar, berkata dengan menambah santan dalam juadah, ia dapat memekatkan kuah dan memberi aroma serta rasa lemak berbanding biasa.

"Ramai tukang masak mempunyai tip dan resipi tersendiri, bagi saya santan lebih enak dan sudah sebati dengan budaya memasak kita di Malaysia," katanya.

Pendekkan masa membakar

Penggunaan rempah dan bahan tetap sama bagi mengekalkan aroma sebenar namun cara penyediaan sedikit berbeza supaya memberi kelainan dan membiarkan rempah meresap ke dalam daging ayam.

Bahan utama seperti serai, lengkuas, cili padi dan kunyit basah digunakan bagi mengekalkan resipi sebenar. Selepas diperap, merebus ayam bersama bahan perapan antara 10 hingga 15 minit, sebelum dibakar selama 30 minit supaya rempah sebati dengan ayam.

b>Ayam golek bersantan

BAHAN-BAHAN untuk menghasilkan resepi ayam golek bersantan. - Foto Munira Abdul Ghani
BAHAN-BAHAN untuk menghasilkan resepi ayam golek bersantan. - Foto Munira Abdul Ghani

Bahannya:

1 ekor ayam

30 gram (g) bawang merah (digiling)

20g bawang putih (digiling)

20g cili padi (digiling)

20g cili giling

10g halia

10g lengkuas

20g serai

1 kilogram (kg) santan pekat

30g gula

20g kunyit hidup (digiling)

Serbuk perasa secukupnya

Hiasan:

2 biji tomato (dihiris empat)

10g cili hijau (dibelah dua)

10g cili merah (dibelah dua)

3g daun sup (dihiris nipis)

Cara memasak:

1. Campur semua bahan giling dan gaul sebati bersama ayam.

2. Masukkan cili giling, halia, lengkuas dan serai.

3. Masukkan santan dan serbuk perasa secukupnya.

4. Perap ayam selama satu malam atau sekurang-kurangnya dua jam.

5. Rebus ayam selama 15 minit lalu bakar dalam ketuhar selama 30 minit.

6. Panaskan lebihan kuah perapan ayam dan tuang di atas ayam yang sudah dibakar.

7. Hiaskan ayam dengan tomato, cili hijau, cili merah, daun sup

8. Siap dihidang.

INFO

Tips kekalkan kesegaran santan

1. Masukkan garam kasar dalam santan dan kacau rata.

2. Kemudian simpan dalam peti sejuk seperti biasa.

3. Boleh juga simpan santan dalam plastik bersih dan berikat dalam peti beku tanpa garam.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X