Sabtu, 30 Julai 2016 | 12:11am
AMYZA Aznan dan Ieda Moin (kanan) ketika mengacarakan program masakan. - Foto ihsan pembaca
PADA usia 40 tahun Amyza Adnan ternyata beruntung kerana sehingga ke hari ini tawaran lakonan untuknya tidak pernah putus. - Foto Rohanis Abdul Shukri

Amyza tidak reti nak jadi 'gedik'


BERTEMU pelakon Amyza Aznan ketika majlis pelancaran program Super Spontan Superstar, baru-baru ini, ada luahan yang ingin disampaikannya. Ia bukanlah kerana ego seorang pelakon, tetapi lebih kepada mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mengambil jalan mudah dalam memilih bakat untuk membawakan sesuatu karakter.

Menurut Amyza, sikap segelintir produksi yang gemar bersikap tangkap muat dengan meletakkan karakter tidak bersesuaian dengan usia pelakon menyebabkan hasilnya menjadi bahan kecaman ramai. Malah, situasi itu juga membuatkan kebanyakan pelakon berasa tidak selesa.

"Kalau kita lihat, ada dua perkara yang berlaku kepada kebanyakan pelakon pertengahan era 90-an. Ada yang dipinggirkan dan ada juga yang diberikan watak tidak sesuai dengan mereka.

"Contohnya, apabila diberi watak ibu, pelakon yang diberikan karakter anak itu sebaya dengan kita. Sepatutnya perkara itu tidak berlaku jika produksi peka," kata pelakon tinggi lampai ini.

Begitupun, berbanding kebanyakan rakan seangkatannya yang lain, Amyza ternyata beruntung kerana sehingga ke hari ini tawaran lakonan untuknya tidak pernah putus. Begitu juga undangan mengadakan persembahan.


AMYZA Adnan bercita-cita untuk menyertai program Maharaja Lawak bersama Didie Alias dan Sharifah Shahira. - Foto Rohanis Abdul Shukri

"Kalau hendak dikata peluang dalam bidang seni kurang, bagi pihak saya, tawaran belum putus. Selain berlakon, saya ada juga buat pengacaraan dan juga menyanyi," katanya lagi.

Mengulas pembabitannya dalam program Super Spontan Superstar, tanpa berselindung, pelakon berusia 40 tahun ini mengakui selain ingin mencari kelainan, ia juga sebagai batu loncatan bagi menggilap nama.

"Tidak dinafikan, tujuan saya menyertai program ini, selain mencabar kebolehan diri, saya percaya ia dapat membantu mempromosikan dan mengukuhkan lagi jenama Amyza kepada penonton. Secara tidak langsung, peminat yang lahir pada tahun 1980-an mengenali siapa kakak ini, siapa makcik ini.

"Lagipun, program ini akan disiarkan berulang kali dan memudahkan penonton untuk mengingati saya," katanya sambil ketawa.

Selain Amyza, peserta lain yang turut terbabit dalam program berkonsepkan permainan itu ialah Ozlynn, Kamal Adli, Julia Ziegler, Altimet, Waris, Abam Bocey, Fad Bocey, Achey, Syuk Joras, Ali Puteh dan Zulin Aziz.

Selain itu, Johan dan Tauke bakal bertindak sebagai ketua kumpulan iaitu Monyet Mafia dan Harimau Hipster.


AMYZA Aznan menyertai Super Spontan Superstar untuk mencari kelainan dan sebagai batu loncatan bagi menggilap nama. - Foto Amirudin Sahib

Sambil mengakui tidak begitu memahami konsep diketengahkan program berkenaan, Amyza berkata, perasaan gementar mula timbul apabila menyertai siri boot camp rancangan terbabit, baru-baru ini.

"Terus-terang, ketika menyaksikan program itu di kaca TV sebelum ini, saya memang tidak begitu faham konsepnya. Justeru, apabila ditawarkan untuk menjadi peserta dan dikehendaki mengikuti boot camp, barulah saya tahu bukan mudah prosedur permainannya. Paling sukar untuk saya lakukan apabila dipaksa untuk menjadi 'gedik'. Itulah perkara yang saya tak suka buat.

"Walaupun orang kata pelakon komedi tiada masalah untuk membawakan watak 'gedik', saya bukanlah orangnya. Jangan kata watak seperti itu, karakter romantik pun saya tak boleh. Memang boleh jadi bodoh kalau saya dikehendaki membawakan watak romantik atau babak bercinta," dedahnya.

Super Spontan Superstar bakal bersiaran bermula 5 Ogos depan di saluran Astro Warna dan Mustika HD pada setiap Jumaat, 9 malam.

Dalam temubual itu juga, Amyza memberitahu dirinya mempunyai hasrat untuk menyertai pertandingan Maharaja Lawak. Bagaimanapun, berikutan wujudnya sedikit masalah, impian terbabit terpaksa dipendam begitu saja.

"Memang sebelum ini saya ada cita-cita untuk menyertai program Maharaja Lawak. Bersama-sama saya ialah Didie Alias dan Sharifah Shahira. Bagaimanapun hasrat itu terbantut apabila Didie menarik diri dan Shira pula bersalin. Takkanlah saya nak buat lawak solo? Apapun, jika ada rezeki dan peluang, saya tetap mahu menyertai program itu," ujarnya.

Berita Harian X