Sabtu, 30 Julai 2016 | 12:49pm

City sedia ikat Aguero, Fernandinho lebih lama

PEMAIN Manchester City, Sergio Aguero. - Foto AFP

LONDON: Manchester City akan memastikan Sergio Aguero menandatangani kontrak baharu sebelum bermula musim ini dan bersedia untuk memberi ganjaran kepada Fernandinho dengan perjanjian lebih baik.

Aguero terikat dengan kelab itu sehingga 2019 tetapi difahamkan satu lanjutan kontrak sudah dipersetujui pada Januari.

Penyerang Argentina berusia 28 tahun yang menjaringkan gol pertama di bawah kendalian Pep Guardiola ketika menentang Borussia Dortmund di Shenzhen menjelaskan dia mahu kembali ke kelab lamanya Independiente pada penghujung kerjayanya.

Tetapi dia sudah menjadi ikon di Etihad sejak perpindahan STG38 juta (RM202 juta) dari Atletico Madrid pada 2011, dan City mahu mengekalkannya untuk seberapa lama yang mungkin apatah lagi ketika bintang Argentina itu menjadi seorang daripada penyerang terbaik dunia.

City juga merancang untuk berbincang dengan wakil Fernandinho berkenaan kontrak baharu selepas dia muncul sebagai seorang daripada pemain terbaik kelab musim lalu dan dikenal pasti sebagai pemain utama oleh Guardiola.

Fernandinho, 31, masih berbaki dua tahun dalam perjanjian lima tahun yang ditandatanganinya pada 2013 selepas perpindahan STG30 juta (RM159 juta) dari Shakhtar Donetsk, tetapi City mahu melanjutkan kontrak itu.

Menyifatkan pemain tengah Brazil itu sebagai individu yang boleh bermain di bahagian pertahanan tengah, Guardiola berkata: "Saya fikir Fernandinho boleh bermain dalam 10 posisi berbeza, dia mempunyai kualiti untuk bermain di mana saja.

"Dia boleh bermain di bahagian pertahanan, dia pantas, agresif, bijak dan kuat. Dia memiliki kualiti untuk membentuk permainan yang lebih baik dan boleh membuat hantaran kepada penyerang." - Agensi

Berita Harian X