Ahad, 31 Julai 2016 | 12:02am
MOTOSIKAL jenis Enduro cenderung menjadi pilihan penggemar motosikal lasak kerana lebih praktikal dan mudah dikendalikan sama ada di jalan raya mahupun ketika melakukan aktiviti ekstrem. - Foto Muhammad Sulaiman
KELEBIHAN motosikal Enduro yang mempunyai rekaan seumpama 'motorcross' ialah fungsinya yang lebih pelbagai selain boleh ditunggang di laluan lebih mencabar seperti dalam hutan. - Foto Muhammad Sulaiman
HISHAMUDDIN Md Sani beraksi di trek Alam Budiman, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman
MOTOSIKAL jenis Enduro. - Foto Muhammad Sulaiman

Derauan adrenalin cetus minat motosikal lasak


SHAH ALAM: Aura sukan motosikal lasak, Enduro, nyata cukup memukau dengan reka bentuk besar dan tinggi selain dilengkapi sepasang tayar besar. Ia sekali gus meletakkan motosikal lasak ini dalam kelasnya tersendiri. 

Tidak hairan jika peminat motosikal sanggup menghabiskan sejumlah besar wang untuk memiliki jentera motosikal berkuasa tinggi ini.

Mampu meluncur di jalan raya, kelebihan motosikal Enduro yang mempunyai rekaan seumpama 'motorcross' ialah fungsinya yang lebih pelbagai selain boleh ditunggang di laluan lebih mencabar seperti dalam hutan.

Motosikal jenis Enduro cenderung menjadi pilihan penggemar motosikal lasak kerana lebih praktikal dan mudah dikendalikan sama ada di jalan raya mahupun ketika melakukan aktiviti ekstrem.

Bukan sekadar hebat beraksi di jalan raya, Enduro juga bertenaga beraksi di litar off-road. Malah, kemampuannya terserlah terutama ketika meniti kawasan berliku, berpasir, berbukit, cerun landai hinggalah ke kawasan becak.


PEMINAT motosikal sanggup menghabiskan sejumlah besar wang untuk memiliki jentera motosikal Enduro. - Foto Muhammad Sulaiman

Fungsinya yang pelbagai dengan harga berpatutan sedikit sebanyak mempopularkan motosikal Enduro dalam pasaran di negara ini.

Di Malaysia, peminat motosikal Enduro sering menjadikan beberapa lokasi hutan di sekitar Shah Alam, Damansara, Pahang, Negeri Sembilan dan ladang kelapa sawit sebagai medan menguji kemampuan motosikal berkenaan. 

Bagi Hishamuddin Md Sani, 40, cabaran adrenalin (disebabkan terlalu teruja atau badan sentiasa bersedia untuk bertindak balas dengan bahaya) yang dinikmati setiap kali menunggang motosikal lasak itu nyata sukar untuk diterjemah dengan kata-kata.

Keseronokan menunggang terutama melakukan aktiviti ekstrem dengan beraksi di kawasan hutan dan laluan berliku nyata menguji kemampuan diri serta jentera hebat terbabit.

Hishamuddin yang mempunyai motosikal berkuasa tinggi jenis Enduro KTM EXC 200 mula berjinak-jinak dengan jentera itu sejak 20 tahun lalu selepas merasai sendiri pengalaman menunggang motosikal milik bapa saudaranya ketika berusia lapan tahun.


MOTOSIKAL Enduro mampu meniti kawasan berliku, berpasir, berbukit, cerun landai hinggalah ke kawasan becak. - Foto Muhammad Sulaiman

HISHAMUDDIN Md Sani bersama rakan-rakannya. - Foto Muhammad Sulaiman

Minatnya itu mendorongnya mengambil keputusan memiliki motosikal sendiri, sekali gus menjadikan kegiatan itu sebagai hobi biarpun mengakui kos untuk membeli setiap kenderaan lasak itu agak tinggi.

"Sebenarnya kos penyelenggaraan motosikal Enduro ini tidak terlalu tinggi sebagaimana motosikal berkuasa tinggi lain dan peralatannya boleh dibeli mengikut kesesuaian bajet masing-masing.

"Setiap minggu saya dan beberapa orang rakan akan bermain di trek Alam Budiman, Shah Alam dan beberapa trek yang mempunyai laluan berliku sekurang-kurangnya seminggu sekali.

"Saya pernah sekali memasuki pertandingan tetapi ia tidak sebati dengan jiwa selain saya hanya menunggang motosikal sebagai hobi mengisi masa lapang sambil menikmati keindahan alam sekitar," katanya.


PEMINAT sukan motosikal Enduro, Hishamuddin Md Sani. - Foto Muhammad Sulaiman

Profil: Hishamuddin Md Sani

Umur: 40 Tahun

Status: Berkahwin

Anak: Tiga (7 hingga 12 Tahun)

Asal: Petaling Jaya, Selangor.

Pekerjaan: Eksekutif, Sapura Kencana

Motosikal Pertama: Hyosung 125cc Empat Lejang (Korea)

Info: Kelebihan motosikal enduro

  • Suspensi lebih ringan
  • Tenaga motosikal lebih lancar
  • Dilengkapi lampu, signal, cukai jalan, boleh digunakan di jalan raya dan off-road
  • Dilengkapi dengan penghidup enjin elektrik.


MOTOSIKAL Enduro milik Hishamuddin Md Sani. - Foto Muhammad Sulaiman

JENIS tayar yang digunakan oleh penggemar sukan Enduro. - Foto Muhammad Sulaiman

Info: Peralatan dan kos

Helmet, Cermin mata (Goggles), sarung tangan, but, sarung pelindung sendi lutut dan siku, pelindung dada; tali pinggang; pelindung leher (Neck Braist)

Helmet: RM500 - RM2,000

Kasut: RM800 - RM1,800

Sut: RM500 - RM800

Tali pinggang (kidney belt): RM200 - RM400

Sarung tangan: RM80 - RM300

Pelindung dada: RM450 - RM1,500

Sarung pelindung sendi lutut (knee guard) dan siku: RM500 - RM800

Tayar: RM300 - RM450

Info: Trek pilihan

Alam Budiman, Shah Alam; Bukit PKNS; Bukit Cerakah; Setia Alam; UIA Gombak; Ulu Yam; Ulu Slim, Perak; Kenaboi, Negeri Sembilan; Endau Rompin, Pahang; Taman Negara, Pahang; Kampung Segamat, Johor.

Berita Harian X