Ahad, 31 Julai 2016 | 1:58pm

Najib, Jokowi bincang tingkatkan kerjasama ekonomi

DUTA Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim.

JAKARTA: Usaha meningkatkan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia untuk mencapai sasaran AS$30 bilion setahun adalah antara agenda Rundingan Tahunan ke-11 kedua-dua negara esok.

Dalam pertemuan pertama antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Joko Widodo di bawah kerangka mekanisme rundingan tahunan itu, isu lain yang bakal disentuh ialah persempadanan, tenaga kerja Indonesia, jerebu merentas sempadan dan sektor tenaga.

Kali terakhir rundingan tahunan diadakan adalah pada 19 Disember 2013 di Jakarta sebelum pelantikan Presiden Joko Widodo.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, berkata sebagai pelabur kedua terbesar di Indonesia, Malaysia komited mencapai sasaran dagangan dua hala AS$30 bilion yang ditetapkan pada 2014.

"Kelemahan ekonomi global serta kejatuhan harga komoditi dan minyak menyebabkan sasaran itu tidak dapat dicapai.

"Malaysia tetap komited untuk mencapai sasaran itu...dan ia akan menjadi agenda dalam Rundingan Tahunan esok," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Nilai perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia pada tahun 2015 berjumlah RM60.16 bilion (AS$15.25 bilion) manakala pada tahun 2014 direkodkan bernilai RM59.5 bilion (AS$18.3 bilion).

Zahrain berkata, dagangan dua hala kedua-dua negara dijangka tidak lebih AS$20 bilion tahun ini.

Datuk Seri Najib Razak dijangka tiba di Jakarta petang ini untuk lawatan kerja selama tiga hari sempena Rundingan Tahunan ke-11 antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Republik Indonesia pada 1 Ogos 2016 dan Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) dari 2 hingga 4 Ogos 2016.

Berita Harian X