Ahad, 31 Julai 2016 | 2:52pm

Pelajar cemerlang SPM terima Skim Biasiswa MB Johor

AMIRA Natasha Md Kamil. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 6A, Amira Natasha Md Kamil, tidak menduga doa ingin meringankan beban ibunya termakbul apabila beliau terpilih menerima Skim Biasiswa Menteri Besar.

Lebih manis lagi bagi Amira Natasha, 18, apabila biasiswa itu disampaikan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada majlis di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ), di sini, hari ini.

Pada majlis itu, tujuh pelajar daripada keluarga berpendapatan RM3,500 ke bawah dan sedang mengikuti pengajian di kolej YPJ menerima skim biasiswa berjumlah RM170,820 susulan keputusan cemerlang SPM dengan mendapat 5 hingga 10A.

Amira Natasha berkata, ibunya tidak mampu menyediakan perbelanjaan yang banyak kerana hanya bekerja sebagai pembantu operasi di sebuah syarikat, di Taman Pelangi, dekat sini, selepas bapanya meninggal dunia.

"Ayah saya meninggal dunia sejak tahun 2004 akibat kemalangan jalan raya, menyebabkan ibu perlu bekerja keras bagi menyara kami sekeluarga, selain memastikan anaknya mendapat pendidikan sempurna.

"Dengan biasiswa RM22,570 ini, saya bertekad mencapai prestasi cemerlang di setiap semester bagi membuktikan kepada pelajar lain yang kemiskinan bukan penghalang untuk berjaya," katanya yang kini meneruskan pengajian kursus Diploma Perakaunan di kolej terbabit.

Sementara itu, P Kiran, 18, berkata beliau terharu dan gembira apabila menerima bantuan itu, sekali gus dikecualikan daripada bayaran yuran pengajian dan penginapan.

Katanya, kursus Diploma Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik) bagi tempoh tiga tahun itu akan dimanfaat sepenuhnya termasuk mengubah kehidupan keluarganya menjadi lebih baik.

"Ayah saya yang bekerja sebagai pemandu lori sentiasa memberi dorongan dan yakin nasib terletak pada usaha tanpa mengira latar belakang keluarga," katanya yang juga anak sulung daripada tiga beradik.

Berita Harian X