Ahad, 16 November 2014 | 6:03pm

Alucast 11 monopoli BOTR 2014

JUARA kategori berpasukan (casting), Mohd Khairul Anuar Abd Karim (kiri) dan juara individu (bottom), Muhamad Ali Leman pada pertandingan Boat On The Road di Tasik Kenyir hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

HULU TERENGGANU: Ikan siakap seberat 7.84 kilogram (kg), toman 4.2 kilogram dan sebarau 1.25 kilogram membawa tuah kepada Alucast 11 apabila dinobatkan sebagai juara Kategori Casting (kumpulan) pertandingan memancing Boat On The Road (BOTR) edisi 2014 di Tasik Kenyir, di sini, sebentar tadi.

Mohd Khairul Anuar Abd Karim dan Nor Izzat Na'im Othman mengumpul berat keseluruhan 14.59 kg untuk membolot wang tunai RM15,000 dan hadiah iringan penaja.

Tempat kedua Kategori Casting dimenangi pasukan KNF 5 dengan tangkapan ikan toman 5kg dan sebarau 3.6 kg manakala tempat ketiga dimenangi Alucast 13 yang menaikkan siakap 3.7kg, sebarau 1.22kg dan toman 0.2kg. Tempat keempat menjadi milik Seafarer Explorer Dream Chaser 2.

KNF 5 dianggotai Mohd Asri A. Rahman dan Azri Ngah manakala pasukan Alucast 13 diwakili Mohd Saiful Bahtiar Rafie dan Mohd Saifuddin masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan RM5,000 serta hadiah iringan penaja. Seafarer Explorer Dream Chaser 2 diwakili Quah Chin Yong, Tan Seng Tai dan Khow Hong Chun pula membawa pulang wang tunai RM2,000.

Sementara itu, juara Kategori Bottom (Individu Boat House) dimenangi Muhamad Ali Leman selepas berjaya menaikkan ikan siakap seberat 2.71kg dan baung 0.33kg sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 selaku juara individu keseluruhan.

Pemenang kedua dan ketiga Kategori Bottom dimenangi Shamumunaha Bakar dan Ramzu Nasri Mohamad. Shamumunaha menaikkan ikan toman 1.8kg manakala Ramzu Nasri pula dengan toman 1.09kg dan baung 0.67kg. Tempat keempat diraih oleh Ibrahim Mohd Salim dengan ikan toman 0.8kg dan baung 0.49kg.

Tempat kedua dan ketiga Kategori Bottom membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM3,000 serta hadiah iringan penaja manakala pemenang tempat keempat meraih RM1,000.

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie (dua dari kiri), Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali (lima dari kiri) dan Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Media Prima Berhad (MPB), Datuk Ahmad A Talib (lima dari kanan) bersama pemenang pertandingan Boat On The Road di Tasik Kenyir hari ini. - Foto Rozainah Zakaria

Semua hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Negeri, Datuk Mohd Jidin Shafie. Hadir sama Penasihat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Media Prima Berhad (MPB), Datuk Ahmad A. Talib; Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar Ali, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Hussein Deraman serta Pengurus Projek Khas BH, Mohd Hazrul Rabu.

Sementara itu, Mohd Khairul Anuar berkata, kemenangan dalam acara Casting itu sangat bermakna selepas membuat percubaan kali keempat dan ternyata tuah berpihak kepadanya kali ini.

"Cabaran pada acara kali ini sangat getir terutama perlu bertanding dalam hujan tetapi semua itu dapat diatasi berkat kesabaran dan semangat untuk melakukan yang terbaik. Kemenangan ini akan terus mendorong saya dan rakan-rakan untuk bertanding pada tahun akan datang," katanya selepas majlis penyampaian hadiah BOTR, sebentar tadi.

Selain itu, juara Kategori Individu Bottom, Muhamad Ali pula berkata, beliau tidak menyangka sama sekali untuk muncul juara kategori berkenaan memandangkan saingan begitu sengit bagi menentukan pemenang.

"Saya bersyukur kerana penyertaan kali pertama gagal tapi kali kedua kejayaan menjadi milik saya," katanya. BOTR edisi keempat yang berlangsung sejak Jumaat lalu hingga hari ini melabuhkan tirai dengan kira-kira 211 peserta daripada dua kategori berkampung selama tiga hari di Tasik Kenyir untuk merebut hadiah wang tunai keseluruhan RM73,800.

Penaja yang mengambil bahagian kali ini adalah Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (produk Coleman), ANIH Berhad (konsesi Lebuh raya Pantai Timur), Boat Explorer, Petronas dan juga Honda.

Berita Harian X