Ahad, 31 Julai 2016 | 7:58pm

PM tiba di Jakarta untuk lawatan kerja 3 hari

NAJIB disambut menteri Kabinet dan perwakilan Malaysia ketika tiba di hotel penginapan di Jakarta sebentar tadi. - Foto Abdul Halim Yusoff

JAKARTA: Datuk Seri Najib Razak tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja tiga hari bermula Isnin. Perdana Menteri diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, beberapa menteri Kabinet dan pegawai kerajaan daripada kementerian serta agensi berkaitan.

Pesawat Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdana Kusuma jam 6.15 petang tadi.

Najib dalam lawatan kerja bersempena Rundingan Tahunan ke-11 antara Perdana Menteri dan Presiden Republik Indonesia pada 1 Ogos dan Forum Ekonomi Islam Sedunia ke-12 (WIEF Ke-12) dari 2 hingga 4 Ogos ini.

Dalam pertemuan pertama antara Najib dan Presiden Joko Widodo (Jokowi) di peringkat Rundingan Tahunan, pemimpin kedua-dua negara akan membincangkan beberapa isu termasuk kerjasama ekonomi, persempadanan, tenaga kerja Indonesia, jerebu merentas sempadan dan sektor tenaga.

Najib dan Jokowi juga akan turut menyaksikan pemeteraian perjanjian dua hala antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Otoritas Jasa Keuangan Indonesia di bawah kerangka ASEAN Banking Integration Framework (ABIF) dan Perjanjian di antara Kerajaan Republik Indonesia dan Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) berkenaan Sekretariat CPOPC.

Kali terakhir rundingan tahunan diadakan adalah pada 19 Disember 2013 di Jakarta sebelum pelantikan Presiden Joko Widodo. Sementara itu di peringkat WIEF, Najib selaku Penaung Yayasan WIEF akan menyampaikan ucapan khas pada majlis pembukaan forum itu pada 2 Ogos.

Ketika forum itu yang bertemakan 'Decentralizing Growth, Empowering Businesses" dan dijangka disertai kira-kira 2,500 peserta, Najib dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin beberapa negara termasuk Tajikistan, Guinea, Sri Lanka dan Jordan.

Di samping itu, Perdana Menteri dijadualkan menghadiri beberapa acara sampingan yang akan diadakan sepanjang WIEF termasuk Majlis Pelancaran Global Entrepreneurship Community (GECommunity) oleh Kementerian Kewangan, Malaysia.

Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN.

Nilai perdagangan dua hala Malaysia-Indonesia pada tahun 2015 berjumlah RM60.16 bilion (AS$15.25 bilion) manakala pada 2014 sebanyak RM59.5 bilion (AS$18.3 bilion).

Berita Harian X