Isnin, 1 Ogos 2016 | 12:02am
KESIBUKAN perniagaan menyebabkan pasangan selebriti, Mawi dan Ekin tidak merancang untuk menambah ahli keluarga. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
MAWI bersama isteri, Ekin dan anak mereka, Cahaya Malaika di butik Uniquein. - Foto Munira Abdul Ghani
MAWI merancang mengembangkan bakat dalam bidang perfileman dengan menjadi pengarah. -Foto Munira Abdul Ghani

Mawi, Ekin belum ada rezeki timang anak kedua


BANGI: Biarpun usia anak, Cahaya Malaika sudah mencecah empat tahun, pasangan selebriti Mawi dan Ekin masih menanti rezeki menimang zuriat kedua.

Mula diasak soalan bila Cahaya bakal mendapat adik, Mawi atau nama sebenarnya, Asmawi Ani, 35, dan isteri tidak terlalu mengharap. Sebaliknya, mereka menyerahkannya kepada takdir.

Tambah pula, masing-masing sibuk dengan perniagaan iaitu butik Uniquein dan produksi Mawi World Entertainment. Lantaran, Mawi dan Ekin tidak tergesa-gesa mendapatkan ahli keluarga baharu.

"Saya dan Ekin tidak merancang untuk mendapatkan anak kedua. Cuma buat masa sekarang, kami sibuk dengan perniagaan.

"Bagaimanapun, kami tidak kisah, terserah pada takdir dan rezeki. Cahaya sudah memasuki usia empat tahun. Ramai yang bertanya, tak mahu tambah anak ke? Itulah, belum ada rezeki lagi," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di kediaman mereka di sini, baru-baru ini.


MAWI bersama isteri Ekin, serta anak, Cahaya Malaika memotong kek pada majlir rumah terbuka Hari Raya Mawi di Bangi. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Pada majlis itu, Mawi turut menyambut hari kelahirannya yang ke-36 mengikut kalendar Islam iaitu pada 24 Syawal 1401 Hijrah.

Mawi yang popular selepas menjuarai Akademi Fantasia musim kedua (AF2) mengakui dirinya kini lebih matang.

"Kalau dalam kalander Masihi, saya lahir pada 25 Ogos 1981. Alhamdulillah, pada usia ini, saya semakin matang dalam menjalani kehidupan biarpun masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

"Saya bersyukur dengan apa yang dimiliki. Saya berharap menjadi insan yang lebih baik. Banyak cita-cita yang mahu saya laksanakan," katanya.

Mahu jadi pengarah filem

Tambah Mawi, dia merancang mengembangkan bakat dalam bidang perfileman dengan menjadi pengarah. Selain itu, Mawi juga mahu belajar menulis lirik dengan baik.


MAWI bersama anaknya, Cahaya Malaika. - Foto Munira Abdul Ghani

Bagaimanapun, anak kelahiran Kulai, Johor ini berkata, dia mahu memberi fokus dalam pengarahan filem, tahun ini.

"Kalau nak cerita, macam-macam cita-cita saya ada. Saya sudah bersedia memikul tugasan sebagai pengarah filem. InsyaAllah, perancangannya pada tahun ini.

"Selain itu, saya sedang menghasilkan beberapa lagu. Doakan semua yang dibuat berjalan dengan lancar," kata penyanyi lagu Kalah Dalam Menang itu.

Dalam perkembangan lain, Mawi turut berkolaborasi dengan Syamsul Yusof menyanyikan lagu tema filem Resolusi, arahan adik Syamsul iaitu Syafik Yusof.

Berita Harian X